21 September 2013

Petua Supaya Sentiasa Mahu Sembahyang




Sebagai ikhtiar, agar kita sentiasa mahu menunaikan sembahyang, maka petua-petua berikut hendaklah sentiasa diingati dalam hati sanubari, insyaAllah dengan pertolongan, taufiq dan hidayah Allah kita akan tergolong daripada kalangan orang yang cinta mengerjakan sembahyang.

Di antara petua-petua itu ialah:

1) Semaikan kesedaran diri bahawa sembahyang adalah kewajipan yang mesti ditunaikan oleh setiap orang mukallaf. Ia adalah rukun Islam yang paling penting selepas mengucap dua kalimah syahadat.  Orang  yang meninggalkan sembahyang adalah peruntuh dan perosak agamanya sendiri.

2) Tanamkan rasa cinta kasih kepada ‘ibadat sembahyang dengan merasakan betapa quddusnya ‘ibadat  ini, dan betapa pula besar faedah dan manfa’atnya kepada jasmani, rohani, kesihatan,  kebersihan zahir  dan batin; dan lagi betapa berkesannya sembahyang itu kiranya difahami benar-benar dalam pendidikan akhlak muslim dan muslimah agar berbudi pekerti mulia. Memang besar sekali sumbangan sembahyang kepada pembentukan masyarakat kerjasama, harmoni dan bersatu padu.

3) Tanamkan rasa bertuah, bangga dan mulia dengan ‘ibadat sembahyang kerana ia adalah satu penghormatan besar bagi si hamba yang hina lagi lemah kerana dibenar menghadap Tuhan yang Maha Besar lagi yang Maha Agung daripada segala yang agung.

4) Semaikan rasa penuh cinta kasih, ketaqwaan, keimanan dan kesyukuran kepada Allah yang Maha Esa, yang Maha Pemurah lagi yang Maha Pengasihani. Rasakan dalam hati betapa banyaknya budi baik Allah Ta’ala terhadap dirinya yang memang tidak dapat dibalas dan ditebus dengan apa juapun.

5) Ingatlah! Orang yang tidak bersembahyang terletak diantara kufur atau berdosa besar. Adakah kita rela berkeadaan demikian? Sudah pasti keadaan sedemikian tidak menjaminkan keselamatan diri dan agama. Maka kecelakaan dan nerakalah padahnya nanti, wal ‘iyazu billah.

6) Ingatlah pula! Bahawa orang yang tidak bersembahyang adalah manusia paling jahat dan paling keji. Dia adalah merupakan seorang yang tidak sedarkan diri, seorang yang tidak mengenang budi baik, lagi tidak bersyukur kepada Allah jalla wa ‘ala, pengurnia segala ni’mat. Tanyalah diri: “Mampukah agaknya menerima kemurkaan Allah yang Maha Agung sedangkan kemurkaan sesama manusia pun tidak terdaya?.

7) Ingatlah lagi! Orang yang enggan bersembahyang adalah seorang penderhaka kepada Tuhannya dan Penciptanya. Akibatnya nanti dia akan diseksa dengan ‘azab neraka; dan sebaliknya orang yang bersembahyang adalah seorang yang ta’at kepada Allah dan dia akan diberikan ganjaran syurga.

8) Perbanyakkan berdo’a dan bermohon kepada Allah Ta’ala pada setiap waktu untuk mendapat taufiq dan ‘inayahNya. Janganlah ditinggalkan membaca do’a yang dibaca oleh Nabi Ibrahim pada setiap kali berdo’a selepas sembahyang, azan, dan iqamat. Do’anya ialah:

رَبِّ ٱجۡعَلۡنِى مُقِيمَ ٱلصَّلَوٰةِ وَمِن ذُرِّيَّتِى‌ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلۡ دُعَآءِ (٤٠) رَبَّنَا ٱغۡفِرۡ لِى وَلِوَٲلِدَىَّ وَلِلۡمُؤۡمِنِينَ يَوۡمَ يَقُومُ ٱلۡحِسَابُ (٤١)  

Ertinya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang . dandemikianlah juga zuriat keturunanku . Wahai Tuhan kami! Perkenankanlah do’a permohonanku . Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah keampunan kepadaku, dan kepada kedua ibu bapaku serta kepada orang-orang yang beriman pada hari berlakunya Hisab”.

Akhir kata: Dengan mengingati petua-petua tersebut tadi, dan juga mengetahui tentang kedudukan mulia dan kepentingan ‘ibadat sembahyang dalam Islam, dan lagi dengan memahami dan mengerti tentang hikmat-hikmat sembahyang, serta dengan adanya perasaan takut terhadap dosa dan seksa yang akan menimpa orang yang meninggalkan sembahyang; insya Allah dapat menolong dan mendorongkan seseorang menunaikan kewajipan sembahyang

والله الموفق
TEPUK DADA TANYA IMAN.

Rujukan: Fiqh Solat oleh Haji Engku Ali bin Engku Endut (Muhammad) al-‘Idrusi

0 comments:

Post a Comment

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More