09 October 2012

Fadhilat Dan Khasiat SURAH YASIIN


Sabda Rasulullah s.a.w:
"Setiap sesuatu itu mempunyai hati dan hati Al-Quran itu ialah surah Yasiin. Sesiapa membacanya, dituliskan baginya pahala sebanyak sepuluh kali membaca Al-Quran"

Sabda Rasulullah s.a.w:
"Sesiapa sentiasa membaca surah Yasiin sehingga menjadi kebiasaanya wiridnya pada tiap-tiap malam hingga sampai ajalnya, nescaya beroleh mati syahid"

Sabda Rasulullah s.a.w:
"Sesiapa membaca surah Yasiin dengan niat bersungguh-sungguh kerana Allah, nescaya diampunkan dosanya oleh Allah dan dikurniakan kepadanya pahala berlipat ganda seperti membaca Al-Quran dua puluh kali khatam"

Sabda Rasulullah s.a.w:
"Sesiapa membaca surah Yasiin kerana Allah pada mana-mana malam, nescaya diampunkan dosa-dosanya. Bacakanlah surah Yasiin pada orang-orang yang telah mati diantara kamu (orang-orang Islam)"

Sabda Rasulullah s.a.w:
"Bacalah oleh kamu surah Yasiin kerana didalamnya terdapat dua puluh keberkatan; jika dibaca oleh orang yang lapar, nescaya jadi kenyang. Jika dibaca oleh orang yang tidak mempunyai pakaian bagi menutup auratnya, nescaya mendapat pakaian. Jika dibaca oleh orang bujang, nescaya direzekikan Isteri. Jika dibaca oleh orang yang takut, nescaya hilang ketakutannya. Jika dibaca oleh orang yang ditahan atau dikurung, nescaya terlepas. Jika dibaca oleh orang yang musafir, nescaya mendapat pertolongan di dalam perjalanannya. Jika dibaca oleh orang yang kehilangan harta bendanya, nescaya dapat kembali hartanya yang hilang. Jika dibaca disisi mayat atau orang yang hampir mati, dimudahkan keluar roh dan diringankan azab baginya. Jika dibaca oleh orang yang dahaga, nescaya hilang dahaganya. Jika dibaca oleh orang yang sakit, sembuh dari penyakitnya"

Sabda Rasulullah s.a.w:
"Sesiapa membaca surah Yasiin pada mana-mana waktu, nescaya terpelihara dirinya dari dosa pada hari itu"

Sabda Rasulullah s.a.w:
"Terdapat di dalam Al-Quran satu surah, namanya surah Yasiin. Surah itu memberi syafaat bagi para pembacanya dan meminta ampun bagi para pendengarnya"

  • Sesiapa menulis surah Yasiin dan diminum airnya, nescaya masuk ke dalam rongganya seribu jenis ubat dan seribu cahaya (nur), seribu keberkatan dan seribu rahmat. Keluar dari dalamnya sekelian penyakit dan sekelian kejahatan.
  • Barangsiapa menulis surah Yasiin sebanyak tujuh kali dengan air mawar bercampur za'faraan pada satu bekas yang suci, kemudian dipadamkan dengan air yang suci. Minumlah air ini selama tujuh pagi berturut-turut, nescaya diberi kepadanya daya ingatan yang kuat, mendapat kemenangan dan kesukaan serta ditinggikan pangkatnya.

  • Jika ditulis surah ini sekali dengan kasturi yang bercampur za'faraan, kemudian dipadamkan tulisan itu dengan air yang suci, diberi mimum kepada perempuan yang menyusukan anak. InsyaAllah anak itu akan mendapat susu yang mengeyangkan dan menjadi penawar baginya. Air Yasiin ini juga jika diminum oleh para pelajar dapat menjadikannya seorang yang kuat daya ingatan dan dikurniakan kecerdikan yang luar biasa.
  • Supaya ditunaikan apa yang dihajati, bacalah surah Yasiin sebanyak 7,21 atau 41 kali. InsyaAllah berhasil.

Khasiat ayat 9:
A009
Dan Kami jadikan (sifat tamak dan gila mereka kepada harta benda dan pangkat itu sebagai) sekatan (yang menghalang mereka daripada memandang kepada keburukan dan kesingkatan masa dunia yang ada) di hadapan mereka, dan sekatan (yang menghalang mereka daripada memikirkan azab yang ada) di belakang mereka (pada hari kiamat). lalu Kami tutup pandangan mereka; maka dengan itu, mereka tidak dapat melihat (jalan yang benar). ( Yaa Siin 36:9 )

  • Kegunaan ayat ini ialah untuk menolak kejahatan musuh dan supaya mereka terkepung. Bacalah ayat ini beberapa kali pada segenggam tanah atau pasir, kemudian dihamburkan ke arah mereka.


Khasiat ayat 12:
A012
Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang yang mati, dan Kami tuliskan segala yang mereka telah kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan. Dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu kami catitkan satu persatu dalam Kitab (ibu Suratan) yang jelas nyata. ( Yaa Siin 36:12 )

  • Kegunaan ayat ini ialah untuk menyuburkan tanaman, menghilangkan sifat pelupa dan menambahkan kecerdikan.Tuliskan ayat ini pada bekas yang suci, kemudian dihapuskan dengan air yang suci. Renjiskan air ini kepada tanaman selama tiga hari bagi menyuburkannya. Bagi menambahkan kecerdikan dan untuk menghilangkan sifat pelupa, minumlah air ini selama tujuh pagi berturut-turut.

Khasiat ayat 29
A029
(Kebinasaan mereka) hanyalah dilakukan dengan satu pekikan (yang dahsyat), maka dengan serta merta mereka semua sunyi-sepi tidak hidup lagi. ( Yaa Siin 36:29 )

Bacalah ayat ini sambil mengadap kearah kiblat apabila berjumpa musuh. InsyaAllah selamat.

Khasiat ayat 33
A033
Dan dalil yang terang untuk mereka (memahami kekuasaan dan kemurahan kami), ialah bumi yang mati; kami hidupkan dia serta kami keluarkan daripadanya biji-bijian, maka daripada biji-bijian itu mereka makan. ( Yaa Siin 36:33 )

Tulis ayat ini dengan menggunakan kasturi, za'faraan yang dicampur dengan air masin (air laut), kemudian hapuskan tulisan ini dengan air hujan. Renjiskan air ini pada tanaman, InsyaAllah berkat dan subur.

Khasiat ayat 53
A053
Hanyalah dengan berlakunya satu pekikan sahaja, maka dengan serta merta mereka dihimpunkan ke tempat perbicaraan Kami, semuanya dibawa hadir (untuk menerima balasan). ( Yaa Siin 36:53 )

Kegunaan ayat ini aialah untuk menghadirkan khadam jin atau malaikat.

Khasiat ayat 58
A058
(Mereka juga beroleh) ucapan salam sejahtera dari Tuhan Yang Maha Mengasihani. ( Yaa Siin 36:58 )

  • Bacalah ayat ini sebanyak 1479 kali untuk menunaikan segala hajatnya atau menolak bala. InsyaAllah berhasil.
  • Jika ditulis ayat ini sebanyak 5 kali pada sehelai kertas, kemudian dibawa bersama-sama ketika bermusafir, InsyaAllah terpelihara dari kecurian, kesusahan dan segala perkara yang tidak diingini.
  • Bacalah ayat ini sebanyak 28 kali ketika menular wabak taur, SARS dan sebagainya. InsyaAllah selamat.

Khasiat ayat 78-79
A078
Serta ia mengemukakan satu misal perbandingan kepada Kami (tentang kekuasaan itu), dan ia pula lupakan keadaan Kami menciptakannya sambil ia bertanya: "Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur seperti debu?" ( Yaa Siin 36:78 )

A079
Katakanlah: "Tulang-tulang yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan yang telah menciptakannya pada awal mula wujudnya; dan Ia Maha Mengetahui akan segala keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakanNya); ( Yaa Siin 36:79 )

Bacalah ayat ini pada minyak yang suci sebanyak 40 kali. Kemudian diurut dengannya atau dilumurkan pada tempat yang patah, terseliuh, sengal-sengal dan sebagainya. InsyaAllah 'afiat.



Disusun
Ustaz Mohd Fadhil Bin Ariffin

Kitab Rujukan
1. Syeikh Mohd Fadil Ma'min, Na'tul Bidayat
2. Syeikh Ahmad Ad-Dairabi, Fathul Malik
3. Syeikh Haqqi Nazili, Khazinatul Asrar
4. Syeikh Al-Buni, Syamsul Maarif
5. Syeikh Abdullah Al-Yafii, Ad-Durrun Nazhim
6. Haji Nik Mahmud (Dato' Perdana Menteri Paduka Raja), Pati Rahsia
7. Al-Imam Al-Ghazali, At-Tibb Ar-Ruhani
8. Sidi Abu Al-Hasan As-Syazili, As-Sirrul Jalil
9. Fathur Rahmanir Rahim, Sidi Ahmad Ar-Rifai
10. Doa dan Zikir Rasulullah S.A.W - H. Furqan Ahmad Ansari
11. Sa'adatud Darain, Al-Arifbillah Syeikh Yusof An-Nabhani

0 comments:

Post a Comment

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More