SEMASA Ramadan lalu, saya ada mengikuti solat tarawih yang
disiarkan secara langsung di televisyen. Dalam keadaan tertentu saya dapati
imamnya akan menangis semasa membaca ayat-ayat al-Quran yang berkaitan azab
Allah. Keadaan yang sama juga kadang kala berlaku di negara kita.
Persoalannya, adakah perbuatan menangis itu membatalkan
solat dan jika tidak, setakat mana kita dibolehkan menangis dalam solat.
JAWAPAN:
Diharuskan menangis dalam solat kerana takutkan Allah SWT,
takut akan seksanya serta takut amalan tidak diterima oleh-Nya. Ia merupakan
sifat ahli takwa, yang sentiasa mendambakan keredaan dah kasih sayang-Nya yang
Maha Agung.
Tidak semua kita yang mampu mengalirkan air mata dalam
solat. Malahan hanya sedikit yang menangis dalam solat. Tangisan dalam solat
sangat bermakna di hadapan Allah SWT.
Menangis dalam solat adalah antara ciri orang yang beriman
kepada Allah swt, firman-Nya yang bermaksud: ...apabila dibacakan kepada mereka
ayat-ayat (Allah) Ar-Rahman, mereka segera sujud serta menangis. (Maryam: 58)
Abdullah bin Syirkhir berkata yang bermaksud:
"Aku
melihat Rasulullah SAW mendirikan solat mendirikan solat sambil baginda
teresak-esak bagaikan dadanya terdapat air yang sedang mendidih di dalam
cerek".
(riwayat Ahmad, Abu Daud, Nasaie, dan al-Tirmidzi)
Begitulah apa yang digambarkan oleh para sahabat nabi SAW
dalam memperakui sikap baginda dalam solat. Pernah juga diriwayatkan dalam
beberapa athar bahawa tempat sujud baginda akan basah dek tangisan baginda
dalam sujud. Baginda berpesan agar pembaca al-Quran itu menangis, kalau tidak
boleh menangis buat-buatlah menangis.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Bacalah al-Quran serta
menangis ketika membacanya, jika kamu tidak dapat menangis maka buat-buatlah
menangis."
(riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dalam banyak keadaan para sahabat menangis bersama
Rasulullah SAW sama ada dalam solat, membaca al-Quran mahupun dalam keadaan
umat Islam terhimpit dalam kesusahan. Ringkasnya, air mata, Rasulullah SAW dan
para sahabat tidak dapat dipisahkan daripada al-Quran.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
Allah telah menurunkan
sebaik-baik perkataan iaitu kitab suci al-Quran yang bersamaan isi kandungannya
antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), Yang
berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); Yang (oleh kerana
mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan
mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang
tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah. Kitab suci itulah
hidayah petunjuk Allah; Allah memberi hidayah petunjuk dengan Al-Quran itu
kepada sesiapa Yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan
(ingatlah) sesiapa Yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah),
maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepada-Nya.
(al-Zumar: 23)
Ibn Kathir ketika mentafsirkan ayat ini menjelaskan bahawa
di antara sifat-sifat al-abrar adalah mereka yang memiliki sifat-sifat yang
dimiliki oleh para sahabat antaranya; apabila dibacakan ayat-ayat Allah
(al-Quran) kulit badan mereka bergementar, kemudian menjadi luluh bersama
kalbunya untuk berzikir kepada Allah SWT.
Mereka tidaklah berteriak seperti kena hasutan dan menangis
yang dibuat-buat, akan tetapi mereka memiliki ketegaran, keteguhan dan
kesopanan dan rasa takut yang tidak akan ada menyamai sifat seperti itu.
Oleh sebab itulah mereka beroleh kepujian yang sangat tinggi
di sisi Allah SWT. (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-'Azim, jld: 4, hlm: 51)
Tidak semudah yang disangka bagi air mata mengalir di dalam
mengenang nasibnya di hadapan Rabbul Jalil. Seseorang yang menangis di dalam
solat kerana Allah SWT maka solatnya tidak batal selagi mana tangisannya tidak
mengeluarkan suara yang kuat, seperti meraung sehingga mengganggu orang lain
atau didengari oleh orang lain.
Sebab itu dalam banyak keadaan kita akan dapati imam-imam di
Masjid Haram mahupun masjid-masjid yang lain apabila mereka mula menangis mereka
akan cuba mengawal suara supaya tidak terkeluar suara tangisan yang kuat.
Bagi mengelakkan suara mereka tidak terkawal biasanya mereka
akan berhenti bagi menenangkan perasaan sebelum menyambung bacaan ayat-ayat
suci al-Quran. Maksudnya tangisan dalam solat harus dikawal supaya tidak
melampuai keharusan.
Kadang-kadang saya hairan melihat jemaah yang solat bersama
imam-imam di masjid al-Haram, bila imam menangis mereka pun turut menangis,
kalau yang menangis itu jemaah dari kalangan orang arab mungkin kerana mereka
turut faham sebab itulah mereka menangis, tapi kalau jemaah yang bukan
berbangsa arab, yang tidak mempelajari bahasa arab juga turut menangis, kenapa?
Jawapannya ialah mukjizat al-Quran, nur al-Quran, ayat-ayat
yang menembusi telinga manusia dan singgah di sanubari yang memang secocok dan
rindukan al-Quran.
Itulah antara sebab kenapa yang tidak faham al-Quran juga
turut menangis. Mata yang menangis di dalam solat dan ketika membaca al-Quran
hanya kerana takutkan Allah SWT akan menjadi hujah di hadapan Allah SWT.
Artikel: http://www.utusan.com.my/utusan/
0 comments:
Post a Comment