Kawan saya baru balik menunaikan haji. Tetapi saya dapati ada perubahan pada dirinya. Dulu dia solat tepat pada waktunya tetapi sekarang tidak begitu.
Dia juga hanya menyahut panggilan bila dipanggil "Haji". Dia lebih gemar bercerita tentang bagaimana dia dapat buat haji dengan mudah dan banyaknya dia buat umrah sunat. Adakah ini yang dikatakan tanda-tanda haji mardud (ditolak).
JAWAPAN:
Soalannya seperti adakah dilakukan ibadah haji dengan rezeki yang halal, adakah dilakukan dengan memelihara wajib haji dan rukun haji dengan teliti, adakah dipelihara mata dan hatinya dan keikhlasannya selama melakukan ibadah haji.
Adakah kita berjaya menghindarkan tiga perkara penting yang dinyatakan di dalam surah al-Baqarah di awal-awal perbicaraan mengenai haji, iaitu ibadah haji dilakukan dengan tidak tidak melakukan maksiat, tidak berbantah-bantah yang boleh membawa kepada pergaduhan dan tidak berkata kesat.
Hal ini jelas dalam firman Allah swt yang bermaksud: (Masa untuk mengerjakan ibadat) haji itu adalah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertaqwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya). (al-Baqarah: 197)
Sesungguhnya ibadah haji hanya sekali sahaja difardukan ke atas orang Islam, tetapi ia mesti dilakukan dengan sepenuh hati yang ikhlas. Pernah diriwayatkan bahawa setelah Rasulullah SAW selesai menunaikan haji, baginda bersandar di Kaabah sambil mengalir air mata baginda.
Abu Bakar yang menyedari keadaan baginda itu terus bergegas ke arah baginda dengan bertanya: "Apa yang menyebabkan tuan menangis wahai Rasulullah? Baginda menjawab aku boleh kira jumlah orang yang mendapat haji yang mabrur". Walhal yang menunaikan haji bersama baginda adalah sahabat, kesemua mereka yang bertemu dengan baginda dalam hajjatul wada' dikategorikan sebagai sahabat oleh sekumpulan ulama.
Jadinya kesemua mereka adalah sahabat, adakah mereka juga terlepas mendapat haji yang mabrur?
Jawapannya tidak, kata-kata baginda Rasulullah SAW adalah bagi menggambarkan betapa tidak ramai yang dapat haji yang mabrur.
Maksudnya tidak semudah yang disangka untuk beroleh haji mabrur.
Jadi lebih baik
Kesempurnaan itu sepatutnya menggambarkan kesempurnaan iman dengan dizahirkan melalui amal ibadat. Ketahuilah sesungguhnya, apabila sesuatu ibadah itu tidak mendekatkan kita kepada Allah SWT malah bertambah jauh maka ia bermaksud semakin jauh kita daripada Allah SWT.
Budaya memanggil tuan haji atau haji hanya di Malaysia dan mungkin juga di negara-negara jiran yang lain tetapi ia sangat ketara di Malaysia. Ada yang sampai tidak mahu menyahut bila tidak dipanggil tuan haji.
Nampaknya tujuan menunaikan haji tidak ikhlas, rupa-rupanya untuk mendapat panggilan tuan haji atau hajah. Tidak ada dalam mana-mana kitab muktabar, fiqh mahupun hadis dan tafsir yang menggelar sahabat atau tabien dengan gelaran haji.
Ini kerana ibadat haji dilakukan kerana Allah. Jika ibadah haji diterima Allah SWT itulah sebesar-besar hadiah sebagai balasan selepas kembali daripada mengerjakan haji.
Kata-kata Al-Hasan al-Basri yang bermaksud: "Haji mabrur adalah pulang dalam keadaan zuhud terhadap dunia dan mencintai akhirat". Beliau juga mengatakan: "Tandanya adalah meninggalkan perbuatan-perbuatan buruk yang dilakukan sebelum haji".
Ibnu Hajar al-Haitami mengatakan: "Dikatakan bahawa tanda diterimanya haji adalah meninggalkan maksiat yang dahulu dilakukan, mengganti teman-teman yang buruk menjadi teman-teman yang baik dan mengganti majlis kelalaian menjadi majlis zikir dan kesedaran".
Ringkasnya, ibadah haji yang dilakukannya itu berjaya mengubahnya menjadi hamba yang mendekatkan diri kepada Allah SWT, memperbaiki segala amalan yang lalu dengan mengqadanya.
Lalu berusaha pula memperbaiki ahwal ahlu keluarganya iaitu menasihati mereka agar mentaati perintah Allah SWT dan mencontohi Rasulullah SAW.
Masakan tidak, mereka yang balik daripada ibadat haji, kembali daripada menziarahi tempat-tempat yang agung dalam Islam.
Mereka menyaksikan sendiri bumi di mana Allah SWT turunkan wahyu dan mereka ziarah makam nabi SAW yang menyampaikan ajaran Islam dengan sempurna.
Artikel Penuh: http://utusan.com.my
0 comments:
Post a Comment