Untuk pengetahuan warga Felda semua, saudara Zaizul Azizi Zaman akan berpindah khidmat ke Twin River Technologies di Bécancour, Québec mulai 18 Jan 2013.
Pihak Jawatankuasa Musolla Balai Felda mengucapkan terima kasih terhadap saudara Zaizul Azizi Zaman yang telah menyumbang tenaga dan buah fikiran dalam menjayakan program-program yang dianjur oleh Musolla. Hanya Allah dapat membalas jasa dan tenaga saudara Zaizul Azizi Zaman yang dicurahkan demi mengimarahkan Musolla.
Dibawah ini adalah pesanan dari saudara Zaizul Azizi Zaman untuk kita semua.....
Pesanan Dari Saudara Zaizul Azizi Zaman
Bismillahirrahmanirrahim
Tanggal 18 Jan 2013 merupakan tarikh terakhir untuk saya
berkhidmat di Balai Felda. Saya akan melapor diri untuk memulakan tugas baru di
Twin River Technologies – Entreprise De Transformation De Graines Oléagineuses
(TRT-ETGO) iaitu sebuah kilang pemperosesan Canola dan Kacang Soya (crushing
plant and oil refinery) di Bécancour, Québec. Ini merupakan satu cabaran baru
kepada saya secara peribadi memandangkan saya perlu belajar banyak perkara baru
dari sudut teknikal dan juga terpaksa belajar budaya baru dan bahasa baru yang
asing iaitu bahasa Perancis. Saya berdoa dan mengharapkan doa rakan-rakan
sekalian agar dipermudahkan segala urusan yang mendatang.
Antara perkara yang bakal saya ingat dan rindui adalah
suasana Musolla Balai Felda yang hidup dengan majlis-majlis ilmu dan ahli
jemaah yang ramai pada setiap waktu Zohor dan Asar. Suara doa pagi harian dan
peringatan waktu solat yang berkumandang melalui sistem pembesar suara bangunan
merupakan perkara yang cuma saya jumpa di sini. Semoga amalan mengajak kepada
kebaikan dan mencegah mungkar dan maksiat secara yang berhemah ini dapat
diteruskan dan dipertingkatkan lagi.
Sesungguhnya, hidup kita di dunia ini adalah semata-mata
untuk pengabdian kepada Allah semata-mata. Segala yang kita lakukan daripada
bangkit daripada tidur hinggalah saat kita kembalik tidur sepatutnya mempunyai
nilai pengabdian kepada Allah, tiada satu pun yang sia-sia. Segala-galanya
perlu kita kerjakan kerana Allah semata-mata, dengan cara yang bertepatan
dengan syariat Islam dan sunnah Rasul-Nya.
Sesungguhnya kita meyakini bahawa setiap sesuatu yang
berlaku adalah dengan izin dan perencanaan Allah Yang Maha Kuasa, Maha Tahu
lagi Maha Bijaksana. Kita hanyalah hamba yang sentiasa berusaha sebagai
menepati suruhan Allah supaya berusaha, yang mana segala usaha kita ada
balasannya di sisi Allah, walaupun hasilnya belum menjadi milik kita.
Semoga pertemuan kita menjadi pertemuan yang diberkati, dan
perpisahan kita adalah perpisahan yang suci dari segala dosa dan kerana Allah
semata-mata.
Saya doakan yang terbaik buat teman-teman walau di mana
sahaja anda berada. Semoga kita menjadi insan yang lebih baik setiap hari
sebagai seorang pekerja syarikat ini dan yang lebih utama sebagai seorang hamba
kepada Yang Maha Esa.
Allahlah sebaik-baik pemberi balasan.
1 comments:
Semoga Saudara dapat memanfaat ilmu yang di perolehi dan dikongsi sesama warga Felda yang lain.
Post a Comment