15 July 2013

Pengumuman : Talaqqi dan Musyafahah Al-Quran Bersama Sheikh Osama Mohammad Iqbal Pada 17 Julai 2013 Di Musolla Balai Felda

Assalamualaikum w.b.t

Untuk meningkat lagi mutu bacaan Al-Quran kita dan sempena di bulan Ramadhan yang penuh barakah ini, Musolla Balai Felda telah menjemput Sheikh Osama Mohammad Iqbal untuk mengajar Al-Quran secara Talaqqi dan Musyafahah kepada Jemaah Musolla Balai Felda

Diminta semua jemaah dapat meluangkan masa untuk hadir pada 17 Julai 2013 (waktu: Kuliah Zohor : 1:00pm - 2:00PM) untuk menghadiri Talaqqi dan Musyafahah Al-Quran bersama Sheikh Osama Mohammad Iqbal.

Biodata :

Nama: Sheikh Osama Mohammad Iqbal
Umur: 33 tahun

- Guru Al-Quran di Masjid Haram dan Imam di Masjid Muhriji, Ruseifah, Makkah.
- Ijazah Al-Quran dari Masjid Haram dan Masjid Nabawi
- Bacaaan Ijazah riwayat Hafs 'asim dan bersanad sehingga Rasulullah s.a.w. daripada
         1. Dr. Sheikh Ali bin Abdul Rahman Al Huzaifi
         2. Dr. Skeikh Muhammed Ayuob
         3. Sheikh Abdel Rafes Bin Radwan
- BA dalam Hadith.

................

Talaqqi dari segi bahasa diambil daripada perkataan iaitu pelajar bersemuka atau berhadapan dengan guru. Musyafahah pula bermakna dari mulut ke mulut (pelajar belajar al-quran dengan memerhati gerak bibir guru untuk mendapatkan sebutan makhraj yang betul)

Pendekatan pengajaran al-Quran secara talaqqi dan musyafahah telah diamalkan sejak zaman Rasulullah saw lagi. Sejak dari zaman Rasulullah s.a.w. lagi, pembacaan al-Quran telah diwarisi secara penyampaian berhadapan guru dan murid dari mulut ke mulut bagi menepati bacaan yang telah diturunkan kepada Baginda s.a.w. secara Tartil (bertajwid) menepati firman Allah s.w.t.:
"Dan sesungguhnya Kamu (Muhammad) telah membaca Al-Quran itu daripada (Allah) Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui"(Surah An-Naml, ayat: 6)

"Dan Kami (Allah) telah bacakan (Al-Quran itu) kepada (Muhammad s.a.w.) secara Tartil (bertajwid)" (Surah Al-Furqan, ayat: 32)

Rasulullah s.a.w. pernah berpesan supaya pembacaan al-Quran itu diambil dan dipelajari dari 4 orang sahabat terkemuka dengan sabdanya:

"Ambillah bacaan al-Quran itu dari empat orang iaitu; Abdullah Ibnu Mas`ud, Salim, Mu`az bin Jabal dan Ubai bin Ka`ad" (Sahih Bukhari, Kitab fadhail amal, Bab al-Qurra min ashab al-nabiy)

Fatimah r.a. meriwayatkan sebuah hadith bahawa Rasulullah s.a.w. menceritakan kepadanya suatu rahsia yang maksudnya:

"Jibril membaca dan memperdengarkan al-Quran bersama Ku setiap setahun sekali, kemudian dua kali setahun, maka aku dapat merasakan kehadiran ajalKu"(Sahih Bukhari))

Al-quran juga yang merupakan kalamullah, sebaik-baiknya perlu dibaca dengan baik agar dapat memelihara keaslian bacaan tersebut sesuai dengan hadis yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah menyukai Al-Quran itu dibaca menepati sebagaimana ia diturunkan". (Hadis riwayat sahih Ibnu Khuzaimah).

Berdasarkan sumber-sumber dari al-Quran dan al-Sunnah di atas jelaslah menunjukkan kaedah talaqqi dan musyafahah telah diamalkan dalam pengajaran dan pembelajaran al-Quran sejak dari awal penurunan wahyu kepada Rasulullah s.a.w. lagi.

0 comments:

Post a Comment

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More