Assalamualaikumm... buat Warga Felda dan umat Islam semua.
Mungkin sekarang ini ramai yang sudah sampai di kampung halaman masing-masing atau masih menunggu untuk balik di saat terakhir ataupun yang hanya beraya di ibukota KL. Jika diizinkan Allah, mungkin hari Ahad ini kita akan melihat sinar Syawal selepas Ramadhan melabuhkan tirainya. Syukur kepada Allah, kerana dengan izinnya kita masih diberi peluang bernafas untuk menikmati hari meraikan kemenangan setelah berjaya melalui ujian sepanjang di bulan Ramadhan.
Sungguh benar, Ramadhan adalah bulan Rahmat dan penuh Keberkatan. Namun hakikat yang perlu diterima, Ramadhan akan berlalu pergi dan akan datang kembali. Persoalannya adakah kita akan merasai lagi Ramadhan yang akan datang atau adakah Ramadhan ini adalah yang terakhir buat kita? Kita akan terasa sebak dihati bila teringat pada arwah ibu,ayah dan sahabat-sahabat kita yang pergi buat selama-lamanya dan tak berkesempatan untuk melaksanakan ibadah puasa tahun ini.
Keutamaan kita adalah untuk meneruskan kehidupan ini dengan meningkatkan amal ibadah untuk terus memperhambakan diri kepada-Nya. Janganlah kita jadikan Ramadhan yang bakal berakhir akan jadi sia-sia sahaja. Kita berdoa supaya segala amalan dan keikhlasan kita beribadah disepanjang bulan Ramadhan akan diterima oleh Allah dan moga akhlak dan disiplin yang kita lakukan di bulan Ramadhan dapat kita bawa dan amalkan sebaik sahaja habis bulan Ramadhan.
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa.” [QS. al-Baqarah :183]
Ini menunjukkan yang ibadah puasa itu adalah ibadah yang boleh mendidik dan melatih serta mengubah manusia itu menjadi insan yang bertakwa kepada Allah. Jika sebaliknya berlaku. Maka hakikatnya, kita masih lagilah belum berpuasa dalam erti kata yang sebenarnya. Hanya sekadar menahan diri dari makan dan minum semata-mata.
“Yaa Allah, Yaa Rabbi, Yak Rahman, Yaa Rahim. Sesungguhnya kami sangat takut bila mengingati mati. Tetapi tidak juga kami menghindarkan diri dari yang sia-sia. Dan merapatkan diri kepada yang dikatakan saham-saham Syurga. Masih juga kami cintakan perkataan-perkataan manis dunia yang sementara. Dan asyik dengan belaian-belaian fitnah yang indah pada kulitnya tetapi berulat didalamnya. Yaa Allah, selamatkanlah kami.”
Katakanlah (wahai Muhammad): "Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya? (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan". Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan denganNya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak. [QS. Al Kahfi (18): 103-105]
“Wahai Tuhan, tiada Penguasa selain Engkau yaa Allah. Pandangilah kami. Kasih dan kasihankanlah kami. Sesungguhnya kami orang-orang yang tertipu yang merasakan diri ini benar. Lalu kami mohon Engkau tunjukilah kami. Janganlah biarkan kami terus berada didalam kesesatan. Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang menzalimi diri sendiri. Ampunkanlah kami. Dan janganlah Engkau biarkan kami. Kerana jika demikian, akan gembiralah iblis laknatullah. Engkau turunkanlah taufiq dan hidayah kedalam hati kami. Sesungguhnya Engkau berkuasa diatas setiap sesuatu. Dan tidak ada yang membatasi Kehendak Engkau yang Maha Berkehendak”
Itulah hakikatnya Ramadhan yang perlu ditanamkan didalam sanubari masing-masing. Moga syawal yang bakal menjelma menjadikan kita insan yang semakin menghampir diri dengan Allah.
Admin. Musolla Balai Felda
0 comments:
Post a Comment