Kita sebagai manusia yang lemah, tidak dapat lepas dari melakukan dosa setiap saat dan setiap ketika. Sebab, dosa itu berlaku dari pandangan mata, dari pendengaran telinga, dari perkataan lidah, dari perbuatan tangan, kaki, kemaluan (syahwat), perut (nafsu makan) dan juga dari fikiran dan gerak hati.
Jadi, kita memang tidak dapat elakkan dari melakukan pelbagai dosa sama ada kita sedar atau tidak, sama ada lahir mahu pun batin, sama ada dosa kecil mahu pun dosa besar.
Mata kita, bila terpandang saja aurat wanita terdedah, dosalah yang kita terima. Rasulullah S.A.W. sangat melarang kaum lelaki memandang aurat perempuan.
Di dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Muslim dan Ahmad, seorang sahabat bernama Jarir bin Abdullah pernah bertanya Rasulullah S.A.W.
"Ya Rasulullah, apa hukumnya memandang perempuan secara kebetulan"
Rasulullah S.A.W. menjawab:"Palingkan mukamu"
Kemudian dalam satu hadis lain yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Daud, Rasulullah S.A.W. berkata kepada Saidina Ali
"Wahai Ali, jangan kamu ikut pandangan pertama kamu apabila terserempak dengan perempuan-perempuan dengan pandangan kedua. Pandangan yang pertama itu adalah bahagian kamu"
Daripada hadis tadi, jelaslah kepada kita bahawa Rasulullah S.A.W. melarang kaum lelaki memandang kaum perempuan tetapi, kalau terserempak, bagi pandangan pertama tidak mengapa. Tetapi, jangan lakukan pandangan kedua. Kalau diikuti pandangan kedua, hukumnya berdosa.
Apakah kita dapat mengira banyak mana dosa yang telah kita lakukan disebabkan pandangan mata kita? Tentulah banyak sekali.
Bagi perempuan juga, haram memandang lelaki ajnabi. Sebab itulah kaum perempuan dilarang oleh syariat berjalan dengan kepala tegak sambil pandangan dilemparkan merata-rata. Kaum perempuan hendaklah berjalan dengan menundukkan pandangan.
Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Katakanlah kepada wanita yang beriman, "hendaklah mereka menahan pandangan mereka dan memelihara kemaluan mereka dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali yang zahir darinya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dada mereka dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka".
(An Nuur: 31).
0 comments:
Post a Comment