RAMAI beranggapan Maal Hijrah hanyalah cuti umum atau permulaan tahun baru dalam kalendar Islam yang semakin kurang dihayati pengertiannya sehingga ia semakin tidak membawa apa-apa makna, selain waktu senggang untuk berehat.
Maal Hijrah sering digambarkan sebagai permulaan yang baru, tetapi apa yang lebih penting ia adalah detik untuk setiap individu melakukan penilaian diri melalui proses muhasabah agar menjadi individu lebih baik.
Tahun baru dalam Islam bukanlah sambutan perayaan atau simbolik semata-mata, tetapi membawa maksud yang lebih mendalam.
Faktanya, umat Islam memahami bahawa tahun Hijrah yang kini sudah mencapai angka 1432 menandakan perpindahan besar Nabi Muhammad SAW serta pengikut Baginda dari Makkah ke Madinah. Hijrah Rasulullah menandakan lembaran baru terhadap penyebaran Islam yang lebih makmur.
Hijrah menurut pengertian umum ialah meninggalkan larangan Allah dan melaksanakan perintah-Nya, bagaimanapun dalam pengertian yang lebih luas, ia membawa maksud keluar daripada medan perjuangan yang sempit ke gelanggang yang lebih luas dan ia adalah pemisah di antara yang hak dengan yang batil.
Konsep hijrah yang dianjurkan Islam sangat sesuai dijadikan model dalam masyarakat berbilang kaum supaya hidup dalam kesepakatan dan aman sejahtera. Semangat itu juga konsisten dengan semangat Aidiladha yang baru berlalu. Di sebalik semua saranan itu, masih ramai umat Islam masih terhimpit dengan desakan globalisasi, kemiskinan dan kemunduran.
Kemunduran berpunca daripada sempitnya akal fikiran, ketidaksanggupan manusia untuk berubah, kejahilan serta sikap tamak dan rakus yang natijahnya memakan diri dan masyarakat.
Setiap umat Islam mesti bersemangat dan menanam cita-cita untuk berubah. Berubah daripada sifat yang kurang baik kepada yang lebih bermakna untuk diri dan masyarakat. Hakikat ini juga bermakna umat Islam harus berani melakukan perubahan dan pengorbanan.
Hijrah tidak akan terjadi jika umat Islam belum bersedia mengorbankan tabiat lama yang kurang baik seperti membuang masa, suka berhibur serta tidak berfikiran terbuka.
Hijrah sepatutnya membawa perubahan dalam hidup ke arah yang lebih baik, sempurna dan diredai Allah, di mana hasilnya ialah kemenangan kita dalam mempertahankan akidah, agama, cara hidup dan nilai yang kita amalkan.
Pengorbanan yang dilakukan dengan ikhlas dan penuh yakin pasti akan membuahkan hasil terbaik. Perlu difahami bahawa hijrah adalah syiar keimanan, sama ada hijrah dari suatu tempat kekufuran, kemusyrikan dan kejahilan kepada tempat yang dinaungi akidah keimanan dan hakikat kebenaran.
Secebis Bicara Tentang Maal Hijrah
Nabi Muhammad bersabda, ” Hati itu ada empat. Hati yang bersih terdapat lampu yang bersinar. Itulah hati orang mukmin. Dan hati yang hitam dan terbalik. Itulah hati orang kafir. Hati yang tertutup dan terikat pada penutupnya. Itulah hati orang munafiq. Hati yang dilapisi iman dan kemunafikan. Perumpamaan iman yang bagaikan sayuran yang ditumbuhkan oleh air yang enak. Perumpamaan kemunafikan itu bagaikan luka yang dikembangkan oleh nanah berdarah. Sekiranya salah satu itu berkuasa padanya, maka dia menguasainya.”
Hati adalah raja kepada segala.
Hati penentu amal kita.
Hati tempat tinggalnya niat dan iman kita.
Ini tafsiran biasa bagi hati-hati manusia.
Bukan secara fizikal, tetapi secara ruhaninya.
Bukan secara lahiriah, tetapi secara batinnya.
Tetapi, kali ini ingin saya kenalkan tafsiran baru bagi hati-hati manusia.
Khususnya, para mukmin.
Hati, puncanya kehendak manusia untuk berhijrah.
Dalam seketul daging ini, tersembunyi satu fitrah manusia.
Satu fitrah menginginkan kebenaran.
Satu fitrah mendambakan petunjuk.
Satu fitrah yang mencari-cari Tuhannya.
Dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya), maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu kefasikan dan ketaqwaan, sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwanya dan merugilah bagi orang yang mengotorinya.
(Asy-Syams : 7-10)
Sungguh, hati seorang mukmin itu tidak akan pernah berada di tengah-tengah.
Terkadang memilih kebaikan, terkadang memilih untuk melakukan kejahatan.
Terkadang memilih untuk beradab, terkadang memilih untuk nakal seketika.
Kerana, baginya
TIADA JALAN TENGAH !
Hati hanya satu.
Maka, hanya satu jalan yang dibenarkan untuk mewarnainya.
Namun begitu, kini dalam selautan manusia yang semakin membanjiri bumi ini,
Kurang mereka memilih jalan kemenangan ini.
Jalan yang satu ini menjadi satu-satu (jarang-jarang).
Hanya segelintir sahaja memilihnya.
Antara peluang dan kehendak.
Manusia sering tertanya-tanya.
” Masih adakah peluang untuk aku berubah ? “
Soalan yang kurang waras saya kira.
Kerana peluang untuk melakukan amal kebaikan bagi ummat manusia sentiasa terbuka.
Tanyakan pada diri anda,
” Adakah aku ini tergolong dalam golongan hamba-hamba-Nya yang mahu berubah ? “
Manusia tiba di atas jalan,
terkadang tidak tahu tentang kebenaran jalan yang dipilihnya,
yang dituju pun tidak ketahui,
ada yang laju meneruskan langkah,
ada juga segelintir yang sengaja memerlahankan langkah,
ada yang berhenti di pertengahan jalan,
sambil berteriak, ” Ah, aku sudah penat.”
sudah terkulai lama dengan tiduran yang nyenyak,
bangkitlah,
jangan sampai terlupakan jalan cahaya.
Inilah manusia.
Niat awal untuk memilih jalan, adakalanya sudah kekurangan di situ.
Apatah lagi usaha untuk mencarinya.
Datang pula lubuk-lubuk peluang,
Maka ditepisnya begitu sahaja.
Dan ramai juga yang berpening-pening kepala,
Kerana terlalu banyak tangan manusia yang menghulurkan kebenaran melalui seruan mereka.
Tarik nafas yang panjang,
berhenti sejenak,
bertadabbur seketika,
berjalan,
perhatikan,
Dan tafsirlah apakah erti kebenaran yang sebenar.
Dan tanya pada imanmu, mana satu pilihan idaman kalbu.
Ah, apa yang saya karutkan ini.
Alkisahnya, saya pernah pada berada dalam keadaan yang sama.
Dan akhirnya, saya mencari dahulu diri saya sendiri.
Atau dalam erti kata lain,
saya evaluasi keadaan iman.
Kalau iman sudah kata nak, maka Allah sendiri yang akan memudahkan jalannya.
Alhamdulillah, pada keadaan sekarang inilah saya tercari-cari sejak dahulu lagi.
Dalam sungai kebenaran membasuh kesemua jahiliyyah diri.
Dalam hembusan udara al-haq yang tidak lagi menyesakkan dada.
Mungkin inilah nilai Islam yang sebenar.
Kebenaran.
Dan kebenaran ini tidak cukup hanya untuk kita nikmati seorang diri.
Perlu mengajak manusia yang lain juga, membuka mata dan telinga mereka,
untuk sama-sama berada atas landasan kebenaran.
Jangan penjarakan fitrah hati dengan kehendak nafsu anda yang sentiasa membuak-buak.
Sehingga akhirnya,
” Aku bosanlah ! “
Bosan bercampur penat.
Akhirnya, mereka inilah golongan manusia yang memencilkan diri.
Selesa berada dalam tempurung jiwa ciptaan sendiri.
Tahukah anda, istilah selesa ini tidak berada dalam kamus hidup seorang manusia yang berusaha mencari kebenaran.
Paksaan juga tidak akan berkesan ke atas diri mereka ini.
Kerana dunia ini sudah cukup gempar dengan haru-biru yang menyerabutkan jiwa-jiwa keamanan.
Dan hati manusia itu, jika dipaksa mereka akan cepat sahaja meninggalkan jalan kebenaran yang mereka pilih.
Apapun jua kebenaran yang bakal mendatang menghiasi perjalanan hidupmu,
Selidiklah,
Selamilah,
pelajarilah,
dan amati rasa kepuasan mereka berada dalam jalan mengenal Allah ini.
Sungguh, rasa cinta kepada kebenaran itu adalah buah keimanan yang masak ranum dalam hati.
Dan keimanan itulah yang mendahului perjalanan kita untuk memaknai apa itu hijrah yang sebenar.
Hijrah yang benar-benar puas dalam mencari makna kehidupan yang sebenar.
Tidak lagi tersimpul mati dalam benak pemikiran.
” Untuk apakah aku dipilih untuk berada di atas muka bumi ini ? “
” Ke manakah hala tuju hidupku yang sebenar ? “
” Benarkah ada lagi kehidupan selepas kehidupan di dunia ini, maka perlukah aku berjuang untuknya ? “
Hijrah yang dipilih oleh hati kita sendiri.
Hijrah yang memberi kegembiraan di alam seterusnya nanti.
Atau lebih manis,
Hijrah yang diberi petunjuk oleh Allah dan iman kita sendiri !
Hijrah ini menyediakan diri kita untuk menjadi tetamu Sang Pecinta.
Hijrah ini tidak mengajar untuk membantutkan cita-cita, malah lebih tinggi.
Sepertimana hijrahnya Rasulullah ke Kota Madinah,
seperti itu jugalah nilai erti penghijrahan diri.
Syahadah yang kita imani membawa kita kepada sebuah perjalanan hijrah.
Menjadi manusia yang lebih baru dan tinggi maruahnya.
Menjadi manusia yang lebih kuat keazamannya.
Menjadi manusia yang lebih bersedia untuk menghadapi hari-hari yang bakal mendatang.
Travelog syahadah akan mencipta satu pengalaman kehidupan yang sangat manis.
Dari syahadah membawa kepada hidayah.
Dari hidayah yang membawa kepada dakwah.
Anda manusia yang bijak dan matang.
Anda telah melihat sketsa-sketsa kehidupan masa kini.
Dan anda punyai kematian untuk dijadikan peringatan.
Manusia yang bijak itu sentiasa,
bersiap-sedia,
mengambil pengajaran,
dan mencari kebenaran.
Jangan biarkan ego mendahului,
Sebaliknya biarlah iman yang memonopoli.
Jangan biarkan manusia lain memenjara usaha anda,
Sebaliknya usaha sebaik mungkin, pecahkan segala tembok yang ada.
Jangan biarkan kebenaran itu dipalsukan,
Sebaliknya kebenaran atas kebenaran itu yang lebih mulia.
Jangan sesekali kecundang dengan halangan,
Sebaliknya jadikan halangan-halangan itu sebagai penanda kau perlu lebih cekal.
Ingat !
Kita dimuliakan kerana Islam. Maka sekiranya kita mencari kemuliaan selain dari Islam, nescaya Allah akan menghina kita. (Saidina Umar Al-Khattab)
0 comments:
Post a Comment