Tawakal dan Berserah diri pada Allah

Allah akan mencukupkan segala keperluannya. Barangsiapa berpegang teguh dengan agama Allah, nescaya Allah akan menyelamatkannya. Barangsiapa menyerahkan segala urusannya kepada Allah, nescaya Allah akan memberinya petunjuk.

Solat Wajib Berjemaah..27x Pahala..

Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a. katanya, Sesungguhnya Rasulullah bersabda, Sembahyang berjemaah itu lebih baik dari mendirikan sembahyang secara bersendirian sebanyak dua puluh tujuh darjat iaitu ganjaran ;. (H.R. Bukhari dan Muslim)

Taqwa Adalah Kemulian, Mati Suatu Kepastian

Sabda Baginda lagi: Maksudnya: “Hendaklah kamu bertaqwa di mana sahaja kamu berada. Ikutilah setiap kejahatan (yang kamu lakukan) dengan kebaikan, moga-moga kebaikan itu akan menghapuskan kejahatan. Bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang baik.” (Riwayat At Termizi dan Ahmad).

Allah Tambah Nikmat Jika Bersyukur

Orang yang bersyukur kepada Allah akan memperbanyakkan ucapan syukur dan terima kasih kepadaNya. Mereka akan mengerjakan ketaatan kepada Allah dan akan membesarkan nikmat sekalipun nikmat itu kecil

Sudah Solat?. Sesungguhnya Mati Itu Pasti

Sembahyang adalah amalan pertama yang dihisab oleh Allah pada akhirat nanti Dan ingatlah mati, sesungguhnya malaikat maut menjenguk kamu 70 kali sehari semalam 24 jam.

Ucapan Kalimat Thayyibah Seorang Muslim

Kalimat thayyibah yang termasuk ke dalam amalan yang baik dan mampu membentuk pribadi sorang muslim yang selalu ingat dan berhubungan dengan Allah SWT. Dalam kehidupan sehari-hari alangkah baiknya membentuk budaya biasa mengucapkannya

08 February 2013

10 Sikap Buruk Manusia Yang Dicela Allah


SYEIKH Abdul Kadir Abdul Mutalib dalam buku tasauf Penawar Bagi Hati menjelaskan mengenai sepuluh celaan Allah kepada manusia akibat dari kelakuan dan tabiat manusia sendiri ketika menempuh kehidupan seharian. Sepuluh celaan itu berdasarkan sepuluh sikap yang lazim dilakukan manusia iaitu:

1. Gelojoh ketika makan
—————————-
Dalam erti kata lain, seseorang yang kuat dan tidak bersopan
ketika makan. Sikap ini juga meliputi maksud makan terlalu kenyang, menyediakan makanan dalam jumlah yang berlebihan, yang akhirnya membawa kepada pembaziran.

2. Banyak bercakap
———————
Allah mencela manusia yang suka bercakap perkara yang sia-sia,
fitnah memfitnah, umpat keji dan kata mengata kerana semua jenis percakapan itu menjurus kepada permusuhan dan perbalahan sesama manusia.

3. Suka marah-marah
———————–
Kemarahan boleh membuat seseorang itu bertindak di luar batas
kemanusiaan. Perbuatan marah akan diikuti dengan maki hamun,
mengherdik dan perkelahian yang boleh mengakibatkan kecederaan atau pembunuhan.

4. Hasad dengki
—————-
Seseorang yang bersifat dengki sanggup melakukan apa saja dalam bentuk kejahatan atau jenayah. Perbuatan menipu dan sanggup memusnah hidup orang lain adalah antara sifat keji yang lahir dari perasaan hasad dengki. Rasulullah bersabda: `Dengki itu memakan segala kebaikan’ (riwayat Muslim).

5. Kedekut & bakhil
———————
Rezeki yang Allah kurniakan lebih suka disimpan hingga bertimbun
banyaknya. Sifat kedekut menghijab (menutup) seseorang dari
membelanjakan sebahagian dari hartanya ke jalan kebaikan termasuk menderma, membuat kebajikan kejalan Allah dan membantu orang yang memerlukan.

6. Bermegah-megah
———————
Ia termasuk sikap suka status atau jawatan, gelaran dan menerima sanjungan.

7. Cintakan dunia
——————-
Terlalu menghambakan diri kepada perkara duniawi hingga melupakan tuntutan ukhrawi. Rasulullah bersabda: “Bekerjalah kamu di dunia seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun, dan beramallah kamu untuk akhirat seolah-olah kamu akan mati esok hari.” (riwayat Bukhari dan Muslim).

8. Ego atau sombong
———————–
Sifat membuat seseorang merasakan dirinya mempunyai kelebihan dalam banyak perkara dari orang lain hingga mereka lupa bahawa hanya Allah saja yang bersifat maha besar.

9. Ujub dan suka bangga diri
———————————-
Perbuatan ini ada unsur megah dan sombong dengan kelebihan dan kepandaian yang dikurniakan Allah. Rasa bersyukur tidak ada lagi dalam diri kerana telah diselaputi perasaan ego.

10. Gemarkan pujian atau riak
———————————–
Manusia jenis ini suka meminta dipuji dalam setiap perkara yang
dilakukan. Sikap baiknya, jasa dan baktinya mahu dikenang sampai bila-bila. Ini jelas membayangkan bahawa sikap baiknya selama ini, tidak diiringi dengan kejujuran dan keikhlasan.

* Sepuluh sikap yang dicela Allah ini, jika diamalkan, akan termasuk
dalam kategori melakukan dosa besar.

06 February 2013

Jenazah Mati Syahid Dimandikan Oleh Malaikat

Perkahwinan Hanzalah bin Abu Amir dengan sepupunya, Jamilah binti Ubay sudah siap diatur. Kebetulan pula, hari berlangsungnya perkahwinan Hanzalah bertembung dengan hari peperangan tentera Islam menentang musuh di Bukit Uhud. Hanzalah bin Abu Amir mendekati Rasulullah s.a.w, “Saya bercadang menangguhkan sahaja perkahwinan saya malam nanti”. Pada masa itu, Nabi Muhammad s.a.w. dan tentera-tentera Islam di kota Madinah sibuk membuat persiapan akhir untuk berperang. “Tidak mengapa, teruskan sahaja perkahwinan ini”, balas Rasulullah s.a.w. “Tetapi saya sungguh berhajat untuk menyertainya”, Hanzalah bertegas. Rasulullah s.a.w. berkeras supaya Hanzalah meneruskan perkahwinannya dan memberi cadangan supaya Hanzalah menyusuli tentera Islam di Bukit Uhud pada keesokan hari, setelah selesai upacara perkahwinan.


Hanzalah mendiamkan diri. Ada benarnya saranan Nabi Muhammad s.a.w. itu, perkahwinan ini bukan sahaja melibatkan dirinya bahkan bakal isterinya juga. Pada malam Jumaat yang hening, perkahwinan antara Hanzalah bin Abu Amir dan Jamilah binti Ubay dilangsungkan secara sederhana. Suasana yang hening dan sunyi itu tidak tenang hingga ke pagi. Kota Madinah tiba-tiba dikejutkan dengan paluan gendang yang bertubi-tubi. Paluan gendang mengejutkan para pejuang bersama laungan menyebarkan berita.“Bersegeralah! Kita bersegera perangi musuh Allah.”

“Berkumpul segera! Keluarlah! Rebutlah syurga Allah!”

“Perang akan bermula!”

Pukulan gendang dan laungan jihad itu mengejutkan pasangan pengantin yang baru sahaja dinikahkan. Hanzalah bingkas bangun dari tempat tidurnya, “Saya harus menyertai mereka”. “Bukankah malam ini malam perkahwinan kita dan Nabi Muhammad s.a.w.  mengizinkan kanda berangkat esok?” Soal isterinya. Hanzalah menjawab tegas, “Saya bukanlah orang yang suka memberi alasan bagi merebut syurga Allah”.

Jamilah terdiam dan hanya mampu memerhatikan suaminya bersiap memakai pakaian perang dan menyelitkan pedang ke pinggangnya. Hanzalah menoleh ke arah isterinya, “Janganlah bersedih, doakan pemergian saya, semoga saya beroleh kemenangan”. Suami isteri itu berpelukan dan bersalaman. Berat hati Jamilah melepaskan lelaki yang baru sahaja menjadi suaminya ke medan perang. Namun, Jamilah menguatkan hatinya dan melepaskannya dengan penuh redha. “Saya mendoakan kanda beroleh kemenangan”.

Hanzalah melompat ke atas kudanya dan terus memecut tanpa menoleh ke belakang. Akhirnya, dia berjaya bergabung dengan tentera Islam yang tiba lebih awal daripadanya.

Di medan perang, jumlah tentera musuh adalah seramai tiga ribu orang yang lengkap bersenjata manakala jumlah tentera Islam hanyalah seramai seribu orang. Perbezaan itu tidak menggugat kewibawaan tentera Islam termasuklah Hanzalah. Dia menghayun pedangnya menebas leher-leher musuh yang menghampiri dan apabila dia terpandang Abu Sufyan, panglima tentera Quraisy, Hanzalah menerkam Abu Sufyan umpama singa lapar. Mereka berlawan pedang dan bergelut. Akhirnya Abu Sufyan tersungkur ke tanah. Tatkala Hanzalah mengangkat pedang mahu menebas leher Abu Sufyan, dengan kuat panglima tentera Quraisy itu menjerit menarik perhatian tentera Quraisy. Tentera-tentera Quraisy menyerbu Hanzalah dan Hanzalah tewas, rebah ke bumi.

Sebaik sahaja perang tamat, tentera Islam yang tercedera diberikan rawatan. Mayat-mayat yang bergelimpangan dikenalpasti dan nama-nama mereka, tujuh puluh orang kesemuanya dicatat. Sedang Nabi Muhammad s.a.w. yang tercedera dan patah beberapa batang giginya diberi rawatan, Baginda s.a.w. mengatakan sesuatu yang menyentak kalbu, “Saya terlihat antara langit dan bumi, para malaikat memandikan mayat Hanzalah dengan air daripada awan yang diisikan ke dalam bekas perak”. Abu Said Saidi, antara tentera yang berada dekat dengan Nabi Muhammad s.a.w. bingkas mencari jenazah Hanzalah. “Benar kata-kata Nabi Muhammad s.a.w. Rambutnya masih basah bekas dimandikan!” Abu Said Saidi menyaksikan ketenangan wajah Hanzalah walaupun beliau cedera parah di seluruh badannya. Rambutnya basah dan titisan air mengalir di hujung rambutnya sedang ketika itu matahari terik memancar.

Kumpulan Rabani telah mengadaptasikan kisah ini di dalam lagu berjudul 'Hanzalah'. Lihat video di bawah ini:






kredit: rakangroup

05 February 2013

Pagar Diri Dari Sihir Dan Ilmu Hitam


Di bawah ini di nyatakan cara cara atau amalan yang boleh di  lakukan untuk memagar diri anda dari perbuatan jahat tukang sihir atau pengamal ilmu hitam.Sihir mungkin tidak mengenal siapa anda.Ia boleh menyerang anda. Ketahuilah cara memagari diri anda dari sihir dan gangguan syaitan.


Pagar Pertama (1) - Makan Tamar 'Ajwah dan Tamar Madinah

Amalkan memakan tamar (kurma) 'Ajwah dan jika boleh makan bersama dengan Tamar Madinah. Sekiranya anda tidak boleh mendapatkan kedua-du jenis tamar tersebut, makanlah apa-apa jenis tamar yang ada supaya menepati sabda Rasulullah S.A.W. yang berbunyi: "Barangsiapa yang memakan tujuh biji tamar 'Ajwah, dia tidak akan mendapat sebarang kemudaratan racun atau sihir yang terkena pada hari itu".(Riwayat al Bukhari.)


Pagar Kedua (2) - Berwuduk sebelum tidur

Sihir tidak akan memberi sebarang kesan terhadap seseorang muslim yang mempunyai wuduk. Setiap muslim yang berwuduk akan sentiasa dikawal ketat oleh para Malaikat sebagaimana diperintahkan oleh Allah S.W.T kepada mereka.

Sabda Rasulullah S.A.W: Ertinya: "Sucikanlah jasad-jasad ini mudah-mudahan Allah akan menyucikan kamu. Kerana sesungguhnya tiada seorang pun dari mereka yang bersuci terlebih dahulu sebelum tidur, melainkan ada bersamanya seorang Malaikat. Malaikat tersebut tidak akan pernah terlalai walaupun sedetik untuk mengucapkan doa: 'Ya Allah!Ampunilah dosa hambaMu ini kerana dia telah tidur dalam keadaan bersuci.'(Riwayat at Tabraaniy dgn sanad yang baik.)


Pagar Ketiga (3) - Mengambil berat tentang solat berjemaah

Mengambil berat tentang solat berjemaah akan menjadikan seseorang muslim bebas serta aman dari gangguan syaitan. Bersikap sambil lewa terhadap solat berjemaah menyebabkan syaitan akan mengambil peluang untuk mendampingi mereka. Apabila selalu berdampingan, lama kelamaan ia akan berjaya merasuk, menyihir atau melakukan kejahatan lain.

Mengikut riwayat Abu Hurairah r.a., Rasulullah S.A.W.telah bersabda:Ertinya: 'Mana-mana kampung mahupun kawasan kawasan hulu yang tidak mendirikan solat berjemaah meskipun penduduknya cuma tiga orang, nescaya akan didampingi oleh syaitan. Oleh itu hendaklah dirikan solat berjemaah. Sesungguhnya serigala akan memakan kambing-kambing yang menyendiri dari puaknya.(Riwayat Abu Daud dengan sanad yang baik).


Pagar Keempat (4) - Mendirikan Solat Tahajjud utk memagarkan diri dari sihir

Bangunlah mengerjakan solat malam dan janganlah mempermudah-mudahkannya.Sifat mempermudah-mudahkan bangun bersolat malam boleh memberi ruang kepada syaitan untuk menguasai diri seseorang itu.Apabila syaitan telah mampu menguasai diri seseorang, maka dirinya adalah tak ubah seperti bumi yang ketandusan akibat kesan tindakbalas hasil perlakuan syaitan tersebut.

Ibnu Mas'ud r.a. telah berkata: Rasulullah S.A.W. pernah diberitahu tentang perihal seorang lelaki yang tidur hingga ke Subuh dengan tidak mengerjakan solat malam, maka Rasulullah S.A.W. pun bersabda:Ertinya: "Sesungguhnya syaitan telah kencing di dalam telinganya"(Riwayat al Bukhari dan Muslim).


Pagar Kelima (5) - Membaca doa perlindungan apabila masuk di dalam tandas

Tandas adalah tempat kotor dan merupakan rumah bagi syaitan. Oleh itu ia akan mencuba sedaya upaya menggunakan kesempatan yang ada untuk menguasai seseorang muslim setiap kali orang itu masuk ketandas. Di dalam sebuah buku
seorang mangsa sihir telah melapurkan bahawa dia pernah memasuki tandas dengan tidak membaca doa perlindungan. Seketika kemudian dia telah dirasuk oleh syaitan.

Apabila Rasulullah S.A.W mahu memasuki tandas, baginda akan membaca doa perlindungan dengan berkata: Ertinya: "Dengan nama Allah. Ya Allah!Sesungguhnya aku berlindung denganMu dari sebarang kekotoran dan gangguan
syaitan".

Riwayat al Bukhari dan Muslim. Maksudnya adalah berlindung dari gangguan syaitan-syaitan jantan atau betina.


Pagar Keenam (6) - Memagar isteri selepas selesai akad nikah

Selepas majlis akad nikah, pada malam pengantin sebelum memulakan adab-adab berpengantin yang lain, hendaklah suami meletakkan tangan kanannya di atas ubun-ubun kepala isterinya sambil berdoa:
"Ya Allah, aku memohon kepadaMu kebaikannya dan kebaikan yang telah Engkau selubungi ke atasnya,dan aku berlindung dari keburukannya dan keburukan yang telah Engkau selubungi ke atasnya. Ya Allah berkatilah isteriku ini ke atasku dan lindungilah dirinya dari segala keburukan perbuatan orang-orang yang dengki, dan perbuatan tukang sihir apabila dia telah melakukan sihir dan dan perbuatan orang-orang yang suka melakukan tipu daya."(Riwayat Abu Daud dan menurut al Albaaniy sanadnya baik).


Pagar Ketujuh (7) - Berwuduk sebelum tidur, membaca ayat-ayat al Kursi dan berzikir kepada Allah sehingga terlelap

Dalam satu hadis sahih telah menceritakan bahawa syaitan telah berkata kepada Abu Hurairah: "Barangsiapa yang membaca ayat-ayat al Kursi sebelum tidur,dirinya sentiasa di dalam peliharaan Allah manakala syaitan sekali-kali tidak mampu mendekatinya sehinggalah ke waktu pagi''.

Rasulullah S.A.W. telah bersetuju dengan cerita Abu Hurairah tersebut sambil berkata: "Ia telah bercakap benar kepada engkau, walhal ia sendiri sememangnya penipu."(Riwayat al Bukhari).

04 February 2013

Photo 2: Ceramah Agama Bulan Januari 2013

Photo-Photo yang sempat di ambil oleh Abang Naim (FPISB) ketika Ceramah Agama Bulan Januari 2013 iaitu bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul 1434H diadakan di Dewan Merak Kayangan pada 29 Januari 2013.

Pada kali ini Ceramah Agama Bulan Januari 2013 bertajuk "KAMI CINTA RASUL" diadakan secara kerjasama di atara Musolla Balai Felda, Surau Anjung Felda, Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad, Felda D'Saji dan Felda Trading.

Penceramah yang terlibat ialah Ustaz Farhan Mohd Sumut, Ustaz Zulkifli Ahmad, Diana Amir, Syam Kamikaze dan Jemputan Istimewa iaitu dari kumpulan nasyid AS SALAM.







Berbakti Setelah Ibubapa Meninggal Dunia




1.  Mengurus Jenazah Ibubapa.

Apabila salah seorang atau kedua-dua ibubapa meninggal dunia, hendaklah kita sebagai anak memastikan jenazah mereka diuruskan secepat mungkin. Pengurusan jenazah terdiri daripada:

  • Memandikan jenazah.
  • Mengkafan jenazah.
  • Mensolatkan jenazah.
  • Mengkebumikan jenazah.
Sekalipun proses pengurusan jenazah dilakukan oleh orang-orang yang terlatih dalamnya, adalah utama jika kita dapat turut serta. Jika tidak tahu apa dan bagaimana caranya untuk turut serta, maka sekarang adalah masa yang tepat untuk mula mencari ilmu tentang pengurusan jenazah. Setiap daripada proses pengurusan jenazah memiliki petunjuk daripada al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih sehingga ia memerlukan buku yang berasingan untuk menerangkannya. Saya tidak akan menerangkannya dalam buku ini, sebaliknya mengesyorkan untuk mendapatkan buku Ahkam al-Jana’iz wa Bid’iha oleh Muhammad Nashr al-Din al-Albani rahimahullah.[1]

2.  Melunaskan Hutang Ibubapa.


Apabila ibubapa meninggal dunia, hendaklah kita menyemak sama ada mereka memiliki hutang yang belum dilunaskan. Hutang tersebut terbahagi kepada dua jenis:


Hutang Harta Benda:

Hutang seperti ini akan menawan ibubapa yang meninggal dunia sehinggalah ia dilunaskan. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda kepada Sa‘ad ibn al-Atswal radhiallahu 'anh yang baru kematian saudaranya:

Saudara kamu tertahan disebabkan hutangnya, oleh itu pergilah engkau melunasinya.[2]


Jika kita tidak mampu membayarnya, maka ia menjadi tanggungjawab negara. Jika negara enggan melaksanakan tanggungjawab tersebut, maka hendaklah umat Islam saling membantu untuk melunasinya. Pilihan lain ialah berjumpa dengan pihak yang dihutang dan berbincang dengan mereka, mudah-mudahan mereka memansuhkan hutang tersebut atau memberi jalan lain yang lebih mudah.


Menyentuh tentang hutang dan harta, janganlah kita merasa berat untuk melaksanakannya. Janganlah hal ini dipandang sebagai “membayar hutang orang lain” tetapi pandanglah ia sebagai “membuat pelaburan dengan Allah”.


Hutang Ibadah:

Jika ibubapa memiliki hajat untuk melaksanakan sesuatu ibadah lalu mereka tidak sempat kerana meninggal dunia, maka kita boleh melaksanakan ibadah tersebut. ‘Abd Allah ibn ‘Abbas radhiallahu 'anhuma menerangkan:

Bahawa seorang wanita daripada Juhainah datang menemui Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan berkata: “Sesungguhnya ibuku bernazar untuk melaksanakan haji akan tetapi dia tidak sempat melaksanakan haji tersebut sehingga dia meninggal dunia. Apakah boleh aku melaksanakan haji tersebut untuknya?”


Rasulullah menjawab: “Ya, hajikanlah dia. Apa pandangan kamu jika ibu kamu memiliki hutang, adakah kamu juga akan melunasinya? Lunaskanlah untuk Allah kerana (hutang kepada) Allah adalah lebih berhak untuk dilunasi.”[3]



3.  Melaksanakan Rancangan Atau Janji Ibubapa.


Jika ibubapa memiliki rancangan tertentu dan mereka tidak sempat melaksanakannya, kita sebagai anak boleh melaksanakannya dan ganjaran kebaikan akan mengalir kepada ibubapa dan juga kita.


Jabir bin ‘Abd Allah radhiallahu 'anh menerangkan:


Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pernah berkata:

“Apabila datang harta dari Bahrain nescaya aku akan memberi engkau sekian-sekian.”
Namun harta dari Bahrain tidak datang sehinggalah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam wafat.

Ketika harta dari Bahrain sampai, Abu Bakar (radhiallahu 'anh) memerintahkan seseorang menyeru: “Sesiapa yang memiliki janji atau hutang dengan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam datanglah kepada kami.”


Maka aku datang dan berkata: “Sesungguhnya Nabi shallallahu 'alaihi wasallam berjanji kepada aku sekian-sekian.” Maka dia memberi aku satu genggaman dan aku menghitungnya,

ternyata jumlahnya lima ratus (dirham). Dia berkata: “Ambillah lagi seumpamanya.”[4]

Dalam hadis di atas, janji Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam kepada Jabir dilaksanakan oleh Abu Bakar radhiallahu 'anh sebagai pemerintah pada saat itu. Dalam kes ibubapa, janji atau rancangan mereka boleh dilaksanakan oleh anak-anaknya.


4.  Melakukan Kebaikan Yang Disyari‘atkan.


Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:


Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya. [al-Najm 53:39]


Seorang anak adalah hasil usaha ibubapanya sebagaimana sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:


Sesungguhnya sebaik-baik apa yang dimakan oleh seseorang ialah daripada hasil usahanya sendiri dan anaknya termasuk daripada hasil usahanya.[5]


Justeru apa jua kebaikan yang selari dengan syari‘at yang dilakukan oleh kita sebagai seorang anak, seperti beribadah, bersedekah, amar ma’ruf dan nahi mungkar dan selainnya, maka ibubapa akan memperoleh ganjaran. Ganjaran tersebut akan diperolehi oleh ibubapa sama ada kita meniatkan atau tidak, kebaikan yang dilakukan itu kepada mereka.


Antara contoh kebaikan yang memberi manfaat kepada ibubapa ialah apabila kita “mengambil al-Qur’an” sebagaimana hadis berikut daripada Buraidah radhiallahu 'anh:


Aku duduk di sisi Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, lalu aku mendengar baginda bersabda:

“Pelajarilah surah al-Baqarah kerana mengambilnya merupakan keberkatan, meninggalkannya merupakan kerugian dan orang yang suka membuat kebatilan tidak akan mampu mengilmuinya.”
Kemudian baginda diam sesaat, lalu bersabda:

“Pelajarilah surah al-Baqarah dan Ali Imran kerana kedua-duanya adalah al-Zahrawan yang menaungi orang yang memilikinya pada Hari Kiamat, seakan-akan dua gumpalan awan atau dua barisan burung.


Sesungguhnya al-Qur’an akan menemui pemiliknya pada Hari Kiamat ketika dia dibangkitkan daripada kuburnya seperti seseorang yang berkulit kuning, lalu dikatakan kepadanya:


“Adakah kamu mengenal aku?”

Dia menjawab: “Aku tidak mengenal engkau.”
Dikatakan (lagi) kepadanya: ““Adakah kamu mengenal aku?”
Dia menjawab: “Aku tidak mengenal engkau.”
Lalu dikatakan: “Aku adalah sahabat kamu: al-Qur’an,
yang telah membuat kamu kehausan pada siang hari
dan menyebabkan kamu tidak tidur pada malam hari.
Sesungguhnya setiap pedagang berada di belakang barang dagangannya
sedangkan kamu pada hari ini berada di belakang semua barang dagangan.”[6]

Lalu dia diberi kerajaan dari arah kanannya, diberi keabdian dari sebelah kirinya,

diletakkan di atas kepalanya mahkota kebesaran dan ibubapanya dikenakan pakaian yang membuatkan seluruh penduduk dunia berdiri menghormati mereka berdua. Maka mereka berdua bertanya:

“Dengan apakah menyebabkan kami menerima semua ini?”

Dijawab: “Dengan sebab anak kalian berdua yang mengambil al-Qur’an.”

Kemudian dikatakan (kepada anak tersebut):

“Bacalah (al-Qur'an) dan naiklah darjat-darjat syurga dan ruangan-ruangannya.”
Dia terus naik selama membaca al-Qur’an sama ada secara cepat atau perlahan.[7]

Dimaksudkan yang “mengambil al-Qur’an” adalah melaksanakan apa yang dituntut ke atas setiap orang Islam terhadap al-Qur’an, iaitu:

Beriman kepadanya.
Membacanya dengan disiplin tajwid.
Menelaahnya, yakni memerhati dan mengkaji kandungannya (tadabbur).
Mempraktikkannya dalam segala liku kehidupan.
Menyampaikannya sama ada untuk tujuan dakwah atau menegakkan hujah.
Membelanya daripada tuduhan orientalis dan penyelewengan segelintir umat Islam.

Apabila kita melaksanakan keenam-enam tuntutan di atas sekuat mampu, maka kita dikira telah “mengambil al-Qur’an” dan diberi kedudukan yang mulia di Hari Akhirat kelak. Kemuliaan ini juga kemudiannya dikurniakan kepada ibubapa kita sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis di atas.[8]


Contoh kebaikan lain yang dapat kita lakukan untuk ibubapa ialah bersedekah, seperti mana hadis berikut daripada ‘Abd Allah ibn ‘Abbas radhiallahu 'anhuma:


Sesungguhnya datang seorang lelaki dan bertanya kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam: “Sesungguhnya ibuku meninggal dunia, apakah bermanfaat untuknya jika aku bersedekah untuknya?” Rasulullah menjawab: “Ya.”

Lelaki itu lantas berkata: “Sesungguhnya aku memiliki sebuah kebun yang berbuah,
maka saya persaksikan kepada engkau bahawa aku mensedekahkannya untuknya.”[9]

5.  Meneruskan Apa Yang Baik dan Menghentikan Apa Yang Buruk.



Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:


Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang baik lalu ia diamalkan selepas itu,

ditulis untuknya (pahala) seperti pahala orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan pahala mereka (para pengamal itu) sedikit pun.
Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang jahat lalu ia diamalkan selepas itu
ditulis untuknya (dosa) seperti dosa orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan dosa mereka
(para pengamal itu) sedikit pun.[10]


Senafas dengan hadis di atas adalah:


Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariyahnya atau ilmunya yang dimanfaatkan atau anak shalih yang mendoakannya.[11]



Berdasarkan kedua-dua hadis di atas, jika ibubapa pada masa hidup pernah melakukan satu amalan yang disyari‘atkan kepada masyarakat, maka hendaklah kita memastikan amalan tersebut terus dilaksanakan selepas mereka meninggal dunia. Sebagai contoh, jika ayah pernah mensedekahkan sejumlah naskah al-Qur’an kepada surau berhampiran untuk menjalankan kelas pengajian al-Qur’an, pastikan al-Qur’an tersebut dalam keadaan baik dan kelas pengajian diteruskan oleh ahli surau. Jika ibu pernah membuat kelas tuition secara percuma di rumah bagi budak-budak yang tidak berkemampuan, pastikan dicari dan dibayar seorang guru yang baru agar kelas tuition tersebut dapat diteruskan.


Akan tetapi seandainya ibubapa pernah melakukan sesuatu yang bertentangan dengan syari‘at dan mereka tidak sempat membetulkannya pada masa hidup, hendaklah kita memastikan ia dibetulkan setelah mereka meninggal dunia. Sebagai contoh, seandainya ayah pernah menulis buku yang di dalamnya mengandungi kesalahan dan hal ini dikesan oleh kita, maka dalam cetakan akan datang perbetulkanlah kesalahan tersebut. Jika ibu pernah berselisih pendapat dengan seorang jiran sehingga menyinggung perasaan dia, maka pergilah berjumpa dengan jiran tersebut dan mohonlah maaf bagi pihak ibu.


6.  Mendoakan Ibubapa.


Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:


Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariyahnya atau ilmunya yang dimanfaatkan atau anak shalih yang mendoakannya.[12]



Dalam sebuah hadis yang lain baginda juga bersabda:


Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla menaikkan darjat seorang lelaki yang shalih di syurga,

lalu dia bertanya: “Wahai Tuhan! Kenapakah saya mendapat kelebihan ini?”
Dijawab: “Disebabkan permohonan ampun anak kamu kepada kamu.”[13]


Doa keampunan kepada ibubapa yang boleh diamalkan adalah daripada al-Qur’an seperti mana yang dikemukakan sebelum ini:


“Wahai Tuhanku! Ampunkanlah bagiku, dan bagi kedua ibu bapaku,

serta bagi sesiapa yang masuk ke rumahku dengan keadaan beriman;
dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan;
dan janganlah Engkau tambahi orang-orang yang zalim melainkan kebinasaan!” [Nuh 71:28]


Memandangkan hadis yang pertama menyebut doa seorang anak yang shalih secara umum, maka dianjurkan juga mendoakan rahmat kepada ibubapa sebagaimana berikut:


“Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” [al-Isra’ 17:24]



Demikianlah dua doa yang diajarkan oleh al-Qur’an dan ia mencakupi dua perkara yang amat diperlukan oleh ibubapa setelah mereka meninggal dunia: keampunan dan rahmat daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Doa-doa ini boleh kita baca di mana-mana dan pada bila-bila masa. Ia tidak terhad kepada saat menziarahi kubur ibubapa.


7.  Berhubung Dengan Orang Yang Dicintai Oleh Ibubapa.


Kebaikan yang terakhir adalah setinggi-tinggi kebaikan yang dapat dilakukan oleh seorang anak kepada ibubapanya yang telah meninggal. Hadisnya adalah seperti berikut:


Dalam satu perjalanan ke Mekah, ‘Abd Allah ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma menemui seorang Arab Badui. Lantas Ibn ‘Umar mengucapkan salam kepada beliau, menaikkan beliau ke atas keldai yang tadi ditungganginya dan kemudian memberikan beliau serban yang sedang dipakainya.

Ibn Dinar (yang menyaksikan perbuatan Ibn ‘Umar) berkata kepadanya:
“Semoga Allah memperelok keadaan kamu! Sesungguhnya mereka adalah orang Arab Badui
dan sesungguhnya mereka sudah mencukupi dengan sesuatu yang sedikit.”
Maka Ibn ‘Umar menjawab:

“Sesungguhnya ayah orang ini adalah sahabat yang amat dicintai oleh (ayahku) ‘Umar bin al-Khaththab. Sesunguhnya aku mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

“Sesungguhnya bakti terbaik seorang anak ialah
menghubung silaturahim dengan orang yang dicintai ayahnya.”[14]

Berdasarkan hadis di atas, hendaklah kita berbuat baik kepada ibubapa yang sudah meninggal dunia dengan menjalinkan hubungan silaturahim dan berbuat baik kepada sesiapa sahaja yang dicintai atau menjadi sahabat karib ibubapa semasa mereka masih hidup.


Demikian tujuh ruang berbuat baik kepada ibubapa yang dibuka oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala kepada kita setelah ibubapa meninggal dunia. Laksanakanlah ketujuh-tujuh perkara di atas, nescaya ia memanfaatkan ibubapa. Janganlah ditambah atau dikurangi, melainkan memiliki dalil yang sahih lagi jelas.[15]




[1] Kitab ini memiliki dua edisi terjemahan:
Tuntutan Lengkap Mengurus Jenazah yang diterbitkan oleh Gema Insani Press, Jakarta, 1999.
Hukum & Tatacara Mengurus Jenazah Mengikut al-Qur’an & as-Sunnah yang diterbitkan oleh Pustaka Imam Asy-Syafi’e, Bogor, 2005.
[2] Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Majah dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Ibn Majah – hadis no: 2433 (Kitab al-Ahkam, Bab membayar hutang orang yang meninggal dunia).
[3] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 1852 (Kitab al-Hajj, Bab menunaikan nazar haji untuk yang meninggal dunia).
[4] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 2296 (Kitab al-Kafalah, Bab orang yang bertanggungjawab untuk menunaikan hutang si-mati…).
[5] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud – hadis no: 3528 (Kitab al-Buyu’, Bab berkenaan seorang yang makan daripada harta anaknya).
[6] Ini adalah satu kiasan, bererti setiap orang berbangga dengan barang yang bernilai bagi dirinya manakala seorang pemilik al-Qur’an pada Hari Kiamat akan berbangga dengan barang yang paling bernilai di atas semua barang, iaitu al-Qur’an.
[7] Sanad Hasan: Dikeluarkan oleh Ahmad dalam Musnadnya – hadis no: 22950 (bagi edisi 6 jld., rujuk jld. 5, ms. 348) dan sanadnya dinilai hasan oleh Syu‘aib al-Arna‘uth.
[8] Alhamdulillah, saya telah menyusun sebuah buku khas yang menjelaskan perlaksanaan tuntutan-tuntutan di atas, berjudul Marilah Berkenalan Dengan al-Qur’an terbitan Jahabersa, Johor Bahru, 2005.
[9] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 2770 (Kitab al-Wasiat, Bab jika diwakafkan tanah…).
[10] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya – hadis no: 1017 (Kitab al-Zakat, Bab suruhan bersedekah sekalipun dengan setengah biji tamar…)
Banyak berlaku salah faham terhadap hadis ini sehingga ia dijadikan dalil oleh sebahagian pihak untuk mencipta amalan-amalan yang baru. Untuk mengetahui maksud sebenar hadis ini, rujuk buku Bid’ah Hasanah: Istilah Yang Disalah Fahami oleh Asri Zainul Abidin, terbitan Jahabersa, Johor Bahru, 2005.
[11] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya – hadis no: 1631 (Kitab al-Wasiyat, Bab apakah ganjaran yang diperolehi oleh manusia setelah dia meninggal dunia).
[12] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya – hadis no: 1631 (Kitab al-Wasiyat, Bab apakah ganjaran yang diperolehi oleh manusia setelah dia meninggal dunia).
[13] Sanad Hasan: Dikeluarkan oleh Ahmad dalam Musnadnya – hadis no: 10610 (jld. 2, ms. 509) dan sanadnya dinilai hasan oleh Syu‘aib al-Arna’uth.
[14] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya – hadis no: 2552 (Kitab al-Birr wa al-Sholah wa al-Adab, Bab keutamaan berbuat baik kepada rakan ayah dan ibu).
[15] Sebagai contoh, menziarahi kubur ibubapa tidak termasuk dalam rangka berbuat baik kepada ibubapa. Ini kerana menziarahi kubur kebaikannya adalah untuk penziarah dan bukan yang diziarahi. Lebih lanjut, hubungan orang Islam dengan kubur boleh dibahagikan kepada tiga:
Sunnah dan disyari‘atkan, iaitu apabila seseorang menziarahi kubur atas tujuan mengambil iktibar, melembutkan hati, menginsafkan diri dan mengingati kematian.
Harus, iaitu apabila seseorang sekadar melintasinya seperti orang yang dalam perjalanannya ke kerja, dia melalui tanah perkuburan.
Bid’ah dan dilarang, iaitu apabila seseorang melakukan pelbagai kurafat di atas kubur seperti menuang air Yasin, menabur bunga, memacak payung, membaca al-Qur’an, mengambil berkat daripada ahli kubur, berdoa meminta pertolongan atau bertawasul kepada ahli kubur, menyembelih haiwan, memberi sajian makanan dan sebagainya.

SUMBER: hafizfirdaus.com

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More