Tawakal dan Berserah diri pada Allah

Allah akan mencukupkan segala keperluannya. Barangsiapa berpegang teguh dengan agama Allah, nescaya Allah akan menyelamatkannya. Barangsiapa menyerahkan segala urusannya kepada Allah, nescaya Allah akan memberinya petunjuk.

Solat Wajib Berjemaah..27x Pahala..

Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a. katanya, Sesungguhnya Rasulullah bersabda, Sembahyang berjemaah itu lebih baik dari mendirikan sembahyang secara bersendirian sebanyak dua puluh tujuh darjat iaitu ganjaran ;. (H.R. Bukhari dan Muslim)

Taqwa Adalah Kemulian, Mati Suatu Kepastian

Sabda Baginda lagi: Maksudnya: “Hendaklah kamu bertaqwa di mana sahaja kamu berada. Ikutilah setiap kejahatan (yang kamu lakukan) dengan kebaikan, moga-moga kebaikan itu akan menghapuskan kejahatan. Bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang baik.” (Riwayat At Termizi dan Ahmad).

Allah Tambah Nikmat Jika Bersyukur

Orang yang bersyukur kepada Allah akan memperbanyakkan ucapan syukur dan terima kasih kepadaNya. Mereka akan mengerjakan ketaatan kepada Allah dan akan membesarkan nikmat sekalipun nikmat itu kecil

Sudah Solat?. Sesungguhnya Mati Itu Pasti

Sembahyang adalah amalan pertama yang dihisab oleh Allah pada akhirat nanti Dan ingatlah mati, sesungguhnya malaikat maut menjenguk kamu 70 kali sehari semalam 24 jam.

Ucapan Kalimat Thayyibah Seorang Muslim

Kalimat thayyibah yang termasuk ke dalam amalan yang baik dan mampu membentuk pribadi sorang muslim yang selalu ingat dan berhubungan dengan Allah SWT. Dalam kehidupan sehari-hari alangkah baiknya membentuk budaya biasa mengucapkannya

27 December 2013

Video Banjir Di Kuantan: Sumbangan Video Dari Felda KCP Semambu.

Video keadaan banjir di Pahang baru-baru ini. Video ini telah disunting oleh kakitangan Felda KCP Semambu. Semoga dengan gambaran dari video ini akan menjadi ikhtibar kepada kita semua.

Sesungguhnya setiap yang berlaku ada hikmah yang terselindung di sebaliknya. Semuanya merupakan perancangan daripada Allah s.w.t dan ini merupakan antara ujian serta peringatan Allah kepada kita. Banjir menguji kesabaran dan sejauhmana kita bersyukur dengan nikmat yang telah Allah kurniakan kepada kita selama ini. Segala yang kita miliki selama ini hanyalah pinjaman daripada Yang Maha Esa, bila-bila masa akan diambil-Nya kembali. Mungkin Allah akan menggantikannya dengan yang lebih baik lagi.



26 December 2013

Photo: Kumpulan Qasidah Helwa, Musolla Balai Felda

Gambar aktiviti-aktiviti sepanjang tahun 2013, Kumpulan Qasidah Helwa, Musolla Balai Felda yang diketuai oleh Puan Mazatul Aishah



Tip-tips Dan Panduan Lengkap Cara Rahsia Khusyuk Dalam Solat


Khusyuk dalam solat itu merupakan antara kunci yang penting untuk memberi kesan yang baik secara efektif kepada orang yang mendirikannya. Allah Ta‘ala menggelar mereka sebagai orang mukmin yang berjaya. Allah Ta‘ala berfirman:

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١﴾ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ ﴿٢

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.”  
(Surah al-Mukminun, ayat 1-2)

‘Khusyuk’ ialah hati sentiasa hidup, manakala khusyuk dalam solat adalah menghadirkan hati kepada Allah SWT di dalam solat. Ia merupakan hakikat batin yang sebenar-benar bagi suatu solat. Hakikat zahirnya pula adalah perbuatan anggota seperti berdiri, membaca, rukuk, sujud, duduk dan sebagainya. Kedua-duanya mestilah dilaksanakan dengan sempurna.
Sabda Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam:

الصَّلاَةُ مَثْنَى مَثْنَى تَشَهَّدُ فِي آُلِّ رَآْعَتَيْنِ وَتَخَشَّعُ وَتَضَرَّعُ وَتَمَسْكَنُ…… (رواه الترمذي)

“Solat itu dua-dua rakaat, terdapat tasyahhud pada setiap dua rakaat, kekhusyukan hati, bersungguh-sungguh memohon dan merendah diri serta ketenangan hati……..” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Melihat kepada kepentingan khusyuk dalam solat, maka dikemukakan di sini sebahagian tip atau panduan yang boleh diguna-pakai sebagai panduan ke arah perlaksanaan ibadat solat yang khusyuk.
Untuk mendapatkan khusyuk dalam solat hendaklah sentiasa membuat persediaan awal yang rapi dari aspek fizikal dan rohani. Persediaan tersebut sebenarnya bermula di luar solat, sebelum seorang itu mendirikan solat.

Tips Dan Panduan Khusyuk Solat

Perkara-perkara berikut perlulah diamalkan dan diperhatikan oleh setiap mukmin bagi mengekalkan solat yang khusyuk:


1. SEBELUM MENDIRIKAN SOLAT:


i)  Menjaga makanan, minuman dan pemakaian.
Khusyuk itu berkaitan dengan kerja hati. Oleh itu, hati perlu dipelihara kesuciannya dengan menjauhkannya daripada benda-benda yang haram atau tidak halal. Oleh itu, pastikan apa yang kita makan, minum, pakai, tempat tinggal dan lain-lain hendaklah datang dari punca dan sumber yang halal tanpa syubhah.
Sabda Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam: “Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada seketul daging; apabila ia baik baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak rosaklah sekaliannya. Ketahuilah! Itulah ya dikatakan hati.”  (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

ii)  Membersihkan diri dan bersugi.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RadhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Jika tidak mendatangkan kesusahan ke atas umatku atau ke atas manusia nescaya aku menyuruh mereka bersiwak pada setiap kali hendak solat.”(Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

iii)  Wudhuk yang sempurna
Mengambil wudhuk dengan sempurna supaya air mengenai semua anggota wajib serta mengingati niat. Sebab kesempurnaan solat juga terletak kepada kesempurnaan wudhuk.
Diriwayatkan daripada Abu Rauh al-Kula‘ie daripada seorang laki-laki bahawa beliau pernah mendirikan solat Subuh bersama Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam dan Baginda membaca surah ar-Ruum. Pada salah satu ayatnya, bacaan Baginda terganggu. Lalu apabila selesai solat Baginda bersabda: “Sesungguhnya bacaan kami terganggu disebabkan terdapat beberapa orang di antara kamu yang solat bersama kami tidak menyempurnakan wudhuk mereka. Oleh itu, siapa yang mendirikan solat bersama kami, maka sempurnakanlah wudhuknya.”  (Hadits riwayat Ahmad dan an-Nasa’ie)
Di samping itu sebahagian kelebihan wudhuk itu dapat menjauhkan seseorang daripada gangguan syaitan. Saidina ‘Umar RadhiAllahu ‘anhu berkata: “Sesungguhnya wudhuk yang baik itu mengusir syaitan daripada engkau.”

iv)  Memakai pakaian yang bersih dan kemas.
Jangan memakai pakaian yang kurang selesa, seperti memakai sarung kaki yang sempit, mengikat serban terlalu ketat dan sebagainya.
Ditegah bersolat dengan pakaian yang ada gambar, berwarna warni, bertulis, lukisan dan lain-lain kerana ia juga membuat orang lain hilang kekhusyukan ketika berjemaah.

v)  Jangan solat dalam keadaan lapar.
Sebolehnya selesaikan atau perkemaskan segala urusan keperluan diri termasuk makan dan qadha hajat terlebih dahulu. Tujuannya ialah supaya tidak timbul kebimbangan dan ketidakselesaan ketika menunaikan solat.
Sabda Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam: “Jangan solat ketika makanan (yang hendak dimakannya) sedang tersedia, dan jangan solat dalam keadaan menahan buang air besar dan air kecil.” (Hadis riwayat Muslim)

vi)  Jangan solat dalam keadaan menahan buang air besar atau air kecil.
Sabda Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam: “…dan jangan solat dalam keadaan menahan buang air besar dan air kecil.” (Hadis riwayat Muslim)

vii)  Pilih tempat solat yang menenangkan

Pilih tempat solat yang suasananya tenteram, selesa, tidak bising dan sebagainya. Termasuklah dengan memastikan telefon bimbit dimatikan sebelum solat.
Imam an-Nawawi Rahimahullah menjelaskan bahawa makruh menunaikan solat di tempat orang lalu lalang, kerana yang demikian itu boleh mengganggu kekhusyukan solat seseorang.
Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar RadhiAllahu ‘anhuma: “Bahawa Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam menegah mendirikan solat pada tujuh tempat: Tempat pembuangan sampah, tempat penyembelihan, kubur, tengah-tengah jalan, bilik mandi, tempat unta duduk di keliling air dan di atas Baitullah.”  (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

iix)  Gunakan Sejadah Tidak Mengganggu
Menggunakan sejadah yang tidak terlalu banyak gambar yang akan menghayalkan pemikiran. Pastikan supaya tidak ada objek atau gambar yang boleh mengganggu fikiran atau membimbangkan hati di tempat sujud.
Diriwayatkan daripada Saidatuna ‘Aisyah RadhiAllahu ‘anha bahawa Nabi ShallAllahu ‘alaihi wasallam pernah mendirikan solat di atas hamparan daripada bulu yang mempunyai objek lukisan, lalu Baginda bersabda: “Objek lukisan ini mengganggu aku, bawalah ia kepada Abu Jahm dan bawakan kepadaku hamparan tebal yang tidak ada ukiran.” (Hadits riwayat Muslim)

ix)  Pastikan tiada gangguan
Tersebut dalam satu riwayat bahawa Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda kepada seorang sahabat bernama ‘Utsman bin Thalhah RadhiAllahu ‘anhu: “Aku lupa untuk menyuruhmu menutup dua tanduk kibasy (dari pandangan orang). Maka sesungguhnya tidak sepatutnya ada di rumah sesuatu yang mengganggu orang yang solat.”  (Hadits riwayat Abu Daud)
Imam an-Nawawi Rahimahullah menjelaskan mengenai riwayat di atas bahawa ianya memberi petunjuk akan galakan supaya menghindarkan atau menjauhkan apa-apa yang dikhuatiri melalaikan hati dari khusyuk ketika mendirikan solat.
Tersebut di dalam riwayat bahawa Abdullah bin ‘Umar RadhiAllahu ‘anhuma tidak pernah meletakkan al-Qur’an atau pedangnya di tempat solatnya, juga tulisan atau surat. Semuanya diletakkan di belakangnya atau di mana saja yang tidak dapat dilihat olehnya.

x)  Solat Di Awal Waktu
Mendirikan solat di awal waktu atau pertengahan waktu supaya tidak gopoh apakala masa hampir luput.


2. KETIKA HENDAK MENUNAIKAN SOLAT


i)  Azan dan iqamah
Kumandangkan Azan dan iqamat terlebih dahulu walaupun mendirikan solat bersendirian ataupun sekurang-kurangnya iqamat sahaja.

ii)  Lakukan Solat Secara Berjemaah
Berusahalah melakukan solat secara berjemaah kerana iaadalah suatu tuntutan dan syi‘ar agama Islam. Selain pahala solat berjemaah itu melebihi solat seorang diri dengan dua puluh tujuh darjat, ada ulama mengatakan, pada kebiasaannya orang yang solat berjemaah itu akan memperolehi kekhusyukan ketika bersolat dan terselamat daripada perkara yang lagha dan boleh melalaikannya.

iii)  Menghadirkan Hati.
Maksudnya ialah sebelum mendirikan solat kosongkan hati dari segala urusan yang boleh mengganggu ataupun yang tidak ada sangkut-paut dengan ibadat solat yang dikerjakan.
Abu Darda’ RadhiAllahu ‘anhu berkata: “Antara tanda kefahaman seseorang ialah dia memulai memenuhi keperluannya terlebih dahulu sebelum dia masuk menunaikan solat supaya dia masuk ke dalam solat dalam keadaan hatinya kosong dari perkara yang lain.”

iii)  Mengingatkan Mati
Agar pemikiran tidak liar, sebelum solat ingatkan diri bahawa kematian seolah-olah amat hampir dengan kita dan solat tersebut kemungkinan merupakan solat yang terakhir sekali dalam hidup kita dan perlulah dijadikan yang terbaik.
Diriwayatkan daripada Hatim al-Asham RadhiAllahu ‘anhu bahawa ditanyakan kepadanya tentang solatnya, beliau beliau menjawab: “Apabila tiba waktu solat aku menyempurnakan wudhuk dan aku mendatangi tempat di mana di situ aku hendak mendirikan solat. Lalu aku duduk pada tempat itu sehingga berkumpullah seluruh anggota tubuhku. Kemudian aku berdiri menunaikan solatku dan aku jadikan Ka‘bah di antara dua keningku, titian ash-shirath di bawah tapak kakiku, syurga di sebelah kananku, neraka di sebelah kiriku, malaikat maut di belakangku, aku menyangka solat ini adalah solatku yang terakhir. Kemudian aku berdiri di antara mengharap dan takut, aku bertakbir dengan penuh keyakinan, aku membaca dengan bacaan yang betul, aku ruku‘ dengan merendahkan diri, aku sujud dengan khusyu‘, aku duduk atas punggung kiri dan aku bentangkan belakang tapak kaki kiri, aku tegakkan tapak kaki kanan atas ibu jari kaki dan aku ikutkan keikhlasan hati. Kemudian aku tidak tahu sama ada solatku diterima atau tidak?”

iv)  Membaca Zikir
Sebelum mengangkat takbir elok membaca mana-mana zikir yang boleh menjauhkan diri daripada syaitan.
Umpamanya seperti membaca:
a.)  Surah an-Nas
b.)  Ta‘awudz
c.)  Tahlil:

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ

“Tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah.”
d.)  Zikir:

امنا با الله و برسوله

 “Kami beriman dengan Allah dan rasul-rasulNya.”

v)  Berusaha Melawan Gangguan Syaitan
Antara tipu daya syaitan ialah memesongkan atau memalingkan perhatian semasa solat. Caranya ialah dengan memalingkan hati kita dari meneliti dan memahami apa yang sedang kita baca. Dari situ kita akan hilang renungan untuk hari akhirat dan keikhlasan ibadat yang dilakukan. Adakalanya sehingga seorang itu boleh menjadi ragu dan was-was tentang bilangan rakaat yang telah ditunaikannya, adakah sudah cukup atau masih lagi kurang.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RadhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya salah seorang daripada kamu apabila berdiri menunaikan solat syaitan akan mendatanginya, lalu syaitan menimbulkan kesamaran ke atas orang itu sehingga dia tidak tahu berapa rakaat sudah ditunaikannya.”  (Hadits riwayat Muslim)


3. KETIKA MENUNAIKAN SOLAT


i)  Meneliti Dan Memahami Bacaan Solat
Meneliti bacaan-bacaan dalam solat, sama ada bacaan itu terdiri dari ayat-ayat al-Qur’an atau selain dari ayat-ayat al-Quran (tasbih dan takbir dan doa). Jika boleh, fahami makna bacaan-bacaan tersebut. Perkara ini amat penting untuk menghadirkan hati dalam solat. Hati mestilah ikut mengetahui segala apa yang kita baca.
Membaca dengan baik (Khusnul Qori’ah), berusaha untuk memahami dan mengerti bacaan dalam solat termasuk ayat Al-Quran yang dibacakan, terutama sekali Al Fatihah, gerakan dan maknanya (Tafakhum). Ini kerana bacaan-bacaan dalam solat mengandungi banyak makna yang halus yang patut dimengertikan oleh orang yang melaksanakannya.

ii)  Merendahkan Diri
Salurkan rasa rendah hati dan rendah diri ketika dalam rukuk dan sujud serta dipanjangkan tempoh masa rukuk dan sujud.
Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Seseorang hamba paling dekat dengan Tuhannya sewaktu ia bersujud.” (Hadis riwayat Muslim)

iii)  Mengagungkan Allah SWT
Meliputkan hati dengan kebesaran Allah dan kesucianNya ketika bertakbir dan ketika bertasbih pada seluruh gerak-geri dalam solat. Timbulkan Rasa Malu (Haya’) iaituperasaan malu terhadap Allah SWT dan merasa takut (Khauf) kepada kekuasaan Allah.

iv)  Menghindari Dari Memikirkan Hal Keduniaan
Meninggalkan segala fikiran dan lintasan hati yang berkaitan dengan urusan dunia. Hati diajak hadir/ikut, kehadiran hati dalam solat iaitu mengosongkan hati dari segala urusan yang boleh mengganggu dan yang tidak berkaitan dengan solat.

v)  Tumpuan Penuh Pada Solat
Segala perhatian dalam solat itu hendaklah tertumpu hanya kepada mendirikan dan menunaikannya dengan yang terbaik sekali. Rukun-rukun solat perlu dilakukan secara tertib. Berusaha konsentrasi (Khudunul Kolbih) sambil menyedari bahawa Allah SWT sentiasa memperhatikan solat itu.

vi)  Mengurangkan Pergerakan Anggota Badan
Mengurangkan pergerakan anggota-anggota seperti tangan, kaki dan juga Mata ditumpukan kepada tempat sujud dan ketika tasahut melihat anak jari.

vii)  Sentiasa Melihat Tempat Sujud
Sentiasa melihat tempat sujud sekalipun orang itu buta atau bersolat di dalam gelap kecuali ketika membaca perkataan إلاّ الله dalam tahiyyat. Pada ketika itu pandangan orang yang solat itu dialihkan ke jari telunjuknya.
Jika memejamkan mata boleh mendatangkan khusyuk dalam solat seseorang itu, maka dibolehkan dia berbuat begitu dan hukumnya tidak makruh sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam an-Nawawi.

iix)  Lakukan Solat Dengan Thuma’ninah
‘Thuma’ninah’ (ketenangan), maksudnya anggota seseorang itu tetap diam atau berhenti seketika ketika melakukan ssesuatu ‘rukun fi‘li’ (perbuatan) di dalam solat seperti rukuk, sujud dan sebagainya, sebelum beralih ke rukun fi‘li seterusnya. Sekurang-kurangnya tetap diam seketika dalam tempoh pada kadar bacaan zikir: “سبحان الله” (SubhanAllah).
Maknanya, setiap pergerakan di dalam solat itu tidak dilakukan dengan tergopoh-gapah, cepat-cepat atau dengan kelam-kabut tetapi dilakukan dengan tenang dan relaks.

Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam ada mengajar kita tentang perkara ini di dalam sabda Baginda: “Apabila kamu berdiri menunaikan solat maka bertakbirlah. Kemudian bacalah ayat al-Quran yang mudah bagi kamu. Kemudian rukuklah sehingga kamu berthuma’ninah dalam keadaan rukuk. Kemudian bangkitlah sehingga kamu berdiri betul. Kemudian sujudlah sehingga kamu berthuma’ninah dalam keadaan sujud. Kemudian bangkitlah sehingga kamu berthuma’ninah dalam keadaan duduk. Kamu buatlah yang demikian itu dalam semua solat kamu.”  (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)


PENUTUP

Begitulah beberapa tip yang boleh dijadikan panduan untuk mendapatkan khusyuk di dalam solat. Memang tidak dinafikan, terdapat setengah orang masih tidak mampu memperolehi khusyuk di dalam solatnya walaupun dengan mengamalkan bermacam-macam tip atau panduan.
Yang penting tidak mudah berputus asa dan sentiasalah gerakkan diri kita berusaha untuk mendapatkannya. Jangan lupa juga untuk banyak-banyak memohon doa kepada Allah Ta‘ala supaya dikurniakan kepada kita hati yang bersih dan khusyu‘ dalam beribadat kepadaNya.
Orang-orang yang takut kepada Penciptanya dan menyedari ia hanyalah hamba akan patuh apasaja yang diperintahkan dan disampaikan oleh rasul serta akan khusyuk mendapat nikmat solat seperti firman Allah SWT:

وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ ۚ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى الْخَاشِعِينَ ﴿٤٥﴾ الَّذِينَ يَظُنُّونَ أَنَّهُم مُّلَاقُو رَبِّهِمْ وَأَنَّهُمْ إِلَيْهِ رَاجِعُونَ ﴿٤٦

“Jadikanlah Sabar dan Solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. (Iaitu) orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya.”
(Surah Al-Baqarah : ayat 45-46).

والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam Bish Shawab
 (Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)

.
وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه
.
Sumber:  shafiqolbu

Ribuan Ikan Melompat Ke Darat Di Lahad Datu


Lahat Datu - Beribu-ribu ikan yang kebiasaannya hanya berenang di tengah lautan, hari ini dilihat berpusu-pusu berenang ke pesisiran pantai dan melompat naik ke daratan.

Fenomena aneh yang mengejutkan penduduk setempat ini berlaku di Pulau Tambisan, Lahad Datu, kira-kira jam 9 pagi tadi.

Menurut pembaca Sinar Harian Online, Luludaprincess Oja yang berkongsi maklumat itu, kejadian itu disedari oleh penduduk sekitar yang melalui kawasan itu secara tiba-tiba melihat ikan meloncat naik ke daratan.

"..situasi ini disedari oleh orang kampung yang kebetulan berada di tepi pantai, melihat kelainan dalam air tersebut di mana ikan-ikan meloncat naik ke darat.

"Sesetengah penduduk mengambil kesempatan untuk memungut ikan tersebut.

"Ini merupakan fenomena pertama berlaku di kampung tersebut," katanya.
Dalam pada itu, Sinar Harian Online mendapati video mengenai peristiwa itu yang berdurasi dua minit tiga puluh lima saat telah dimuatnaikkan di laman Youtube.

Sebelum ini, kejadian tsunami yang berlaku di Acheh pada 26 Disember 2004 turut mencatatkan tanda-tanda pelik sebelum berlaku bencana alam tersebut.

Sumber: Sinar Harian



Rakaman Kuliah Zohor: Ustaz Zamani Al Besuty (23.12.2013) - Mendidik Anak Cara Rasulullah S.A.W.

Bersama-sama ini disertakan rakaman Kuliah Zohor di Musolla Balai Felda oleh Ust. Zamani Al-Besuty pada 23-12-2013 (Isnin).

Sekian Terima Kasih……


13 December 2013

Subhanallah.. Jenazah Masih Wangi Dan Berkeadaan Baik

Mayat guru al-Quran dikebumi pada 2006 masih sempurna

Segamat: Jenazah seorang guru agama yang dikebumikan kira-kira tujuh tahun lalu ditemui dalam keadaan sempurna dan berbau wangi ketika kerja menggali tanah perkuburan di Kampung Batu Badak, di sini.

Jenazah Allahyarham Maheran Jaaffar, yang meninggal pada 2006 adalah antara 350 kubur yang digali semula untuk dipindahkan bagi memberi laluan kepada projek melebar Jalan Segamat-Ledang. 

Selain itu, dua jenazah lagi turut ditemui dalam keadaan sempurna dan berbau wangi walaupun dikebumikan sejak berdekad lalu. 

Anak sulung Maheran, Hamisah Kassim, 67, berkata beliau terkejut dan hiba apabila dimaklumkan jenazah ibunya dalam keadaan wangi dan masih sempurna, termasuk kain kapan yang masih utuh.

Pemindahan kubur

“Kubur emak adalah yang pertama digali untuk dipindahkan ke Tanah Perkuburan Wakaf di Kampung Tasek. Saya terharu diberitahu jenazah ibu masih elok dan wangi.

“Mungkin itu balasan yang diterima ibu kerana ketika hayatnya arwah mengajar kanak-kanak mengaji al-Quran. Seingat saya, arwah sentiasa mengamalkan amalan berselawat, berzikir dan sering bersedekah,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. 


Hamisah berkata, arwah ibunya juga seorang yang bertanggungjawab menjaga empat lagi adik-beradiknya dan seorang yang pendiam.

Sementara itu, Penyelia Tanah Perkuburan Jabatan Agama Johor (JAJ), Jamaluddin Sapuan, berkata semua jenazah yang digali semula itu dikapankan dan dikebumikan semula di Tanah Wakaf Kampung Tasek.

“Seramai 15 penggali kubur di bawah JAJ memulakan kerja menggali sambil dilihat beberapa jabatan kerajaan, waris dan penduduk setempat.

“Penemuan jenazah yang masih sempurna dan berbau wangi tanda kekuasaan Allah SWT dan balasan yang baik kepada mereka yang melakukan suruhan Allah,” katanya.


http://www.bharian.com.my

Rakaman Kuliah Zohor: Ustaz Kapten Asri Abdul Khalek (12.12.2013)


NAMA: UST. KAPTN. ASRI ABDUL KHALEK.
UMUR: 39 THN.
ASAL: PANTAI REMES, PERAK.
JAWATAN: PEG. KOR AGAMA ANGKATAN TENTERA.
KELULUSAN: B.A(HONS) SYARIAH & PENG. ISLAM JORDAN.
AKTIF DALAM NGO SYRIA CARE.




11 December 2013

Photo: Karnival Maal Hijrah 1435H/2013M


Assalamualaikum w.b.t

Photo-photo yang diambil di Dewan Merak Kayangan dan Ruang Lebar Balai Felda ketika acara Karnival Maal Hijrah 1435H pada 26 dan 27 November 2013.



Jadual Kuliah Zohor Disember 2013




Assalamualaikum w.b.t

Jadual Kuliah Zohor untuk bulan Disember 2013 untuk makluman muslimin dan muslimat.

Segarkan jiwa anda dengan mendengar kuliah/ceramah agama. Jiwa setiap manusia sangat memerlukan makanan rohani dan jasmani. Makanan rohani adalah amal ibadat yang kita lakukan pada setiap hari manakala makanan jasmani adalah makanan yang kita makan pada setiap hari. Kedua-duanya amat kita perlukan dalam kehidupan ini bagi mencari keredhaan Allah SWT disamping dapat mengekalkan kesihatan diri kita.

Manusia telah diutuskan/dihantar ke dunia ini untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Manusia telah diberikan akal bagi membezakan baik atau buruk sesuatu perkara. Pada masa yang sama Allah SWT mengutuskan nabi-nabi dan rasul-rasul untuk memberi petunjuk kepada manusia supaya beriman kepada Allah SWT. Allah SWT telah memilih wakil dari kalangan manusia sendiri untuk melantik nabi dan rasul.

Peranan yang dimainkan oleh nabi-nabi dan rasul-rasul menjadi sumber/asbab hidayah untuk manusia beriman kepada Allah SWT. Melalui perantaraan nabi dan rasul Allah SWT menurunkan kitab-kitab untuk menjadi panduan/ikutan kepada manusia. Seramai 25 orang dikalangan nabi-nabi telah dilantik oleh Allah SWT sebagai Rasul. Rasul yang terakhir yang diutus adalah Nabi Muhammad SAW.

Baginda adalah Rasul untuk umat akhir zaman. Adakah kita umat akhir zaman? Jawapannya adalah ya, sudah tentu!! Allah SWT telah menurunkan Al-Quran melalui perantaraan Nabi Muhammad SAW. Semasa hayat Baginda, Baginda telah menjalankan dakwah menyeru semua umat manusia supaya beriman kepada Allah SWT. Baginda telah membuat pengorbanan yang sangat hebat untuk menyebarkan agama Islam.

Dengan asbab pengorbanan tersebut Islam telah tersebar ke seluruh dunia sehingga ke hari ini. Ikuti siri kuliah/ceramah agama buat tatapan kita semua. Semoga dengan siri kuliah yang disediakan disini sedikit sebanyak dapat memberikan satu sumber hidayah untuk kita sama-sama meningkatkan keimanan kepada Allah SWT.

03 December 2013

Jadi Lebih Baik Selepas Menunaikan Haji


SOALAN:

Kawan saya baru balik menunaikan haji. Tetapi saya dapati ada perubahan pada dirinya. Dulu dia solat tepat pada waktunya tetapi sekarang tidak begitu.

Dia juga hanya menyahut panggilan bila dipanggil "Haji". Dia lebih gemar bercerita tentang bagaimana dia dapat buat haji dengan mudah dan banyaknya dia buat umrah sunat. Adakah ini yang dikatakan tanda-tanda haji mardud (ditolak).

JAWAPAN:

Sepatutnya setiap orang yang kembali daripada menunaikan ibadat haji bermuhasabah dengan sepenuh hati. Dengan mempersoalkan beberapa soalan yang boleh menilai ibadat yang baru dilakukan.

Soalannya seperti adakah dilakukan ibadah haji dengan rezeki yang halal, adakah dilakukan dengan memelihara wajib haji dan rukun haji dengan teliti, adakah dipelihara mata dan hatinya dan keikhlasannya selama melakukan ibadah haji.

Adakah kita berjaya menghindarkan tiga perkara penting yang dinyatakan di dalam surah al-Baqarah di awal-awal perbicaraan mengenai haji, iaitu ibadah haji dilakukan dengan tidak tidak melakukan maksiat, tidak berbantah-bantah yang boleh membawa kepada pergaduhan dan tidak berkata kesat.

Hal ini jelas dalam firman Allah swt yang bermaksud: (Masa untuk mengerjakan ibadat) haji itu adalah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertaqwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya). (al-Baqarah: 197)

Sesungguhnya ibadah haji hanya sekali sahaja difardukan ke atas orang Islam, tetapi ia mesti dilakukan dengan sepenuh hati yang ikhlas. Pernah diriwayatkan bahawa setelah Rasulullah SAW selesai menunaikan haji, baginda bersandar di Kaabah sambil mengalir air mata baginda.

Abu Bakar yang menyedari keadaan baginda itu terus bergegas ke arah baginda dengan bertanya: "Apa yang menyebabkan tuan menangis wahai Rasulullah? Baginda menjawab aku boleh kira jumlah orang yang mendapat haji yang mabrur". Walhal yang menunaikan haji bersama baginda adalah sahabat, kesemua mereka yang bertemu dengan baginda dalam hajjatul wada' dikategorikan sebagai sahabat oleh sekumpulan ulama.

Jadinya kesemua mereka adalah sahabat, adakah mereka juga terlepas mendapat haji yang mabrur?

Jawapannya tidak, kata-kata baginda Rasulullah SAW adalah bagi menggambarkan betapa tidak ramai yang dapat haji yang mabrur.

Maksudnya tidak semudah yang disangka untuk beroleh haji mabrur.

Jadi lebih baik
Sepatutnya orang yang balik dari Mekah, akhlak dan imannya lebih baik daripada sebelumnya. Sebabnya rukun Islamnya yang kelima telah sempurna, bermakna tiang-tiang agama dalam dirinya telah sempurna.

Kesempurnaan itu sepatutnya menggambarkan kesempurnaan iman dengan dizahirkan melalui amal ibadat. Ketahuilah sesungguhnya, apabila sesuatu ibadah itu tidak mendekatkan kita kepada Allah SWT malah bertambah jauh maka ia bermaksud semakin jauh kita daripada Allah SWT.

Budaya memanggil tuan haji atau haji hanya di Malaysia dan mungkin juga di negara-negara jiran yang lain tetapi ia sangat ketara di Malaysia. Ada yang sampai tidak mahu menyahut bila tidak dipanggil tuan haji.

Nampaknya tujuan menunaikan haji tidak ikhlas, rupa-rupanya untuk mendapat panggilan tuan haji atau hajah. Tidak ada dalam mana-mana kitab muktabar, fiqh mahupun hadis dan tafsir yang menggelar sahabat atau tabien dengan gelaran haji.

Ini kerana ibadat haji dilakukan kerana Allah. Jika ibadah haji diterima Allah SWT itulah sebesar-besar hadiah sebagai balasan selepas kembali daripada mengerjakan haji.
Kata-kata Al-Hasan al-Basri yang bermaksud: "Haji mabrur adalah pulang dalam keadaan zuhud terhadap dunia dan mencintai akhirat". Beliau juga mengatakan: "Tandanya adalah meninggalkan perbuatan-perbuatan buruk yang dilakukan sebelum haji".

Ibnu Hajar al-Haitami mengatakan: "Dikatakan bahawa tanda diterimanya haji adalah meninggalkan maksiat yang dahulu dilakukan, mengganti teman-teman yang buruk menjadi teman-teman yang baik dan mengganti majlis kelalaian menjadi majlis zikir dan kesedaran".

Ringkasnya, ibadah haji yang dilakukannya itu berjaya mengubahnya menjadi hamba yang mendekatkan diri kepada Allah SWT, memperbaiki segala amalan yang lalu dengan mengqadanya.

Lalu berusaha pula memperbaiki ahwal ahlu keluarganya iaitu menasihati mereka agar mentaati perintah Allah SWT dan mencontohi Rasulullah SAW.

Masakan tidak, mereka yang balik daripada ibadat haji, kembali daripada menziarahi tempat-tempat yang agung dalam Islam.

Mereka menyaksikan sendiri bumi di mana Allah SWT turunkan wahyu dan mereka ziarah makam nabi SAW yang menyampaikan ajaran Islam dengan sempurna.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my

Empat Malaikat Yang Datang Ketika Orang Sakit

Sakit adalah sunatullah, ketentuan dari Allah swt yang ditimpakan pada manusia.

Memang betul, tidak ada yang menginginkan jadi sakit. Tapi dalam Islam, seperti kita tahu, ada banyak hal yang tersembunyi di sebalik keadaan itu.

Kalau kita tahu sebenarnya tak ada alasan untuk sedih dan mengeluh ketika kita sedang sakit, kerana sebenarnya itu adalah kasih sayang Allah swt pada kita. Kita mengeluh saat sakit kerana kita tak tahu rahsianya.

Sakit, dalam bentuknya yang lain, itu harus disyukuri karena itu adalah bukti kasih sayang Allah pada kita. Allah mengutus 4 malaikat untuk selalu menjaga kita sewaktu sakit.

Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seorang hamba yang beriman menderita sakit, maka Allah memerintahkan kepada para malaikat agar menulis perbuatan yang terbaik yang dikerjakan hamba mukmin itu pada saat sihat dan pada saat waktu senangnya.”

Sabda Rasulullah SAW tsb diriwayatkan oleh Abu Imamah al Bahili. Dalam hadith yang lain Rasulullah bersabda :

“Apabila seorang hamba mukmin sakit, maka Allah mengutus 4 malaikat untuk datang padanya.”

Allah memerintahkan :

1. Malaikat pertama untuk mengambil kekuatannya sehingga menjadi lemah.

2. Malaikat kedua untuk mengambil rasa lazatnya makanan dari mulutnya

3. Malaikat ketiga untuk mengambil cahaya terang di wajahnya sehingga berubahlah wajah si sakit menjadi pucat lesi.

4. Malaikat keempat untuk mengambil semua dosanya, maka berubahlah si sakit menjadi suci dari dosa.

Tatkala Allah akan menyembuhkan hamba mukmin itu, Allah memerintahkan kepada malaikat 1, 2 dan 3 untuk mengembalikan kekuatannya, rasa lazat, dan cahaya di wajah sang hamba.

Namun untuk malaikat ke 4, Allah tidak memerintahkan untuk mengembalikan dosa-dosanya kepada hamba mukmin. Maka bersujudlah para malaikat itu kepada Allah seraya berkata : “Ya Allah mengapa dosa-dosa ini tidak Engkau kembalikan?”

Allah menjawab: “Tidak baik bagi kemuliaanKu jika Aku mengembalikan dosa-dosanya setelah Aku menyulitkan keadaan dirinya ketika sakit. Pergilah dan buanglah dosa-dosa tersebut ke dalam laut.”

Dengan ini, maka kelak si sakit itu berangkat ke alam akhirat dan keluar dari dunia dalam keadaan suci dari dosa sebagaimana sabda Rasulullah SAW : “Sakit panas dalam sehari semalam, dapat menghilangkan dosa selama setahun.”

“Tiada seorang mu’min yang ditimpa oleh lelah atau pe­nyakit, atau risau fikiran atau sedih hati, sampaipun jika terkena duri, melainkan semua penderitaan itu akan di­jadikan penebus dosanya oleh Allah,” (HR Bukhari-Muslim).

“Jika sakit seorang hamba hingga tiga hari, maka keluar dari dosa-dosanya sebagaimana keadaannya ketika baru lahir dari kandungan ibunya,” (HR Ath-Thabarani).

“Penyakit panas itu menjaga tiap mu’min dari neraka, dan panas semalam cukup dapat menebus dosa setahun,” (HR Al-Qadha’i)

04 October 2013

Pengumuman: Khatan Perdana 2013



Assalamualaikum.. w.b.t

Musolla Balai Felda dan Yayasan felda akan menganjurkan Majlis Berkhatan Perdana 2013.
Penyertaaan ini adalah untuk anak-anak petugas Kumpulan Felda.
Yuran Pendaftarana hanyalah RM10
Tarikh Tutup Penyertaan adalah pada  14 November 2013

Borang penyertaan dan maklumat lanjut hubungi:-
Ustaz Ilyas helmi - 0193554848
En Mishadi Junus - 0326005858
En Mat Karim Ujang (Yayasan Felda) - 03-26934224


03 October 2013

Rakaman Kuliah Zohor: Ustaz Zaid Tandong @ Robby Tandang (30.9.2013)

Rakaman Kuliah Zohor di Musolla Balai Felda

oleh Ust. Zaid Tandang @ Robby Tandang (Bekas Mubaligh Kristian). Beliau berasal dan menetap di Serawak. 



02 October 2013

Jadual Kuliah Zohor Bulan Oktober 2013

Assalamualaikum w.b.t

Jadual Kuliah Zohor untuk bulan Oktober 2013 untuk makluman muslimin dan muslimat.

Segarkan jiwa anda dengan mendengar kuliah/ceramah agama. Jiwa setiap manusia sangat memerlukan makanan rohani dan jasmani. Makanan rohani adalah amal ibadat yang kita lakukan pada setiap hari manakala makanan jasmani adalah makanan yang kita makan pada setiap hari. Kedua-duanya amat kita perlukan dalam kehidupan ini bagi mencari keredhaan Allah SWT disamping dapat mengekalkan kesihatan diri kita.

Manusia telah diutuskan/dihantar ke dunia ini untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Manusia telah diberikan akal bagi membezakan baik atau buruk sesuatu perkara. Pada masa yang sama Allah SWT mengutuskan nabi-nabi dan rasul-rasul untuk memberi petunjuk kepada manusia supaya beriman kepada Allah SWT. Allah SWT telah memilih wakil dari kalangan manusia sendiri untuk melantik nabi dan rasul.

Peranan yang dimainkan oleh nabi-nabi dan rasul-rasul menjadi sumber/asbab hidayah untuk manusia beriman kepada Allah SWT. Melalui perantaraan nabi dan rasul Allah SWT menurunkan kitab-kitab untuk menjadi panduan/ikutan kepada manusia. Seramai 25 orang dikalangan nabi-nabi telah dilantik oleh Allah SWT sebagai Rasul. Rasul yang terakhir yang diutus adalah Nabi Muhammad SAW.

Baginda adalah Rasul untuk umat akhir zaman. Adakah kita umat akhir zaman? Jawapannya adalah ya, sudah tentu!! Allah SWT telah menurunkan Al-Quran melalui perantaraan Nabi Muhammad SAW. Semasa hayat Baginda, Baginda telah menjalankan dakwah menyeru semua umat manusia supaya beriman kepada Allah SWT. Baginda telah membuat pengorbanan yang sangat hebat untuk menyebarkan agama Islam.

Dengan asbab pengorbanan tersebut Islam telah tersebar ke seluruh dunia sehingga ke hari ini. Ikuti siri kuliah/ceramah agama buat tatapan kita semua. Semoga dengan siri kuliah yang disediakan disini sedikit sebanyak dapat memberikan satu sumber hidayah untuk kita sama-sama meningkatkan keimanan kepada Allah SWT.



01 October 2013

Kelebihan 10 Hari Awal Zulhijjah & Qurban

Di antara kelebihan dan kurniaan Allah untuk hamba-Nya ialah dijadikan bagi mereka beberapa musim untuk memperbanyakkan amal ibadat dengan dijanjikan pahala yang berganda banyaknya.

Salah satunya ialah:
Sepuluh hari yang terawal pada bulan Zulhijjah.
Beberapa dalil dari al-Quran dan Hadis telah menyebut tentang kelebihannya:


1. Firman Allah, maksudnya; 
“Demi fajar dan malam yang sepuluh.” 
(Surah al-Fajr : ayat 1-2)
Kata Ibnu Kathir : Yang dimaksudkan di sini ialah 10 malam yang pertama pada bulan Zulhijjah. Demikian juga tafsiran Ibnu Abbas, Ibnu Az-Zubair, Mujahid dan lainnya. [HR: Imam Bukhari].

2. Dari Ibnu Abbas RA, Rasulullah SAW telah bersabda, maksudnya:
“Tidak ada hari yang amal soleh padanya lebih dikasihi Allah selain dari hari-hari yang 10 ini. Para sahabat bertanya: Walaupun berjihad di jalan Allah? Rasulullah bersabda: Walaupun berjihad di jalan Allah, kecuali lelaki yang keluar (berjihad) membawa diri serta hartanya dan tidak kembali lagi selepas itu (syahid).” 
[HR: Ahmad, At-Tirmizi].

3. Firman Allah, maksudnya:
“Hendaklah kamu menyebut nama Allah pada hari-hari yang ditentukan.”
 (Surah al-Haj : 28).
Kata Ibnu Abbas RA: Maksudnya ialah hari-hari yang 10 itu.

4. Dari Ibnu Umar RA, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:
“Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah SWT dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah dari hari-hari yang 10 ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid.”


5. Adalah Said bin Jubir RA (perawi yang meriwayatkan Hadis Ibnu Abbas di atas) apabila tiba hari yang tersebut beliau beribadat bersungguh-sungguh sedaya-upayanya. [HR Ad-Darimi- Hasan].

6. Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar: Yang jelasnya, antara sebab keistimewaan 10 hari Zulhijjah ini ialah kerana terhimpun di dalamnya beberapa ibadat yang besar iaitu: Solat, puasa, sedekah dan Haji. Pada waktu lain, ibadat-ibadat ini tidak pernah terhimpun sebegitu.


Kelebihan Korban, Adab & Hukum

Amalan-amalan yang baik dilakukan pada hari-hari tersebut:


1.Solat. Disunatkan keluar cepat menuju ke tempat solat fardhu (berjemaah) dan memperbanyakkan solat sunat kerana ia sebaik-baik amalan. Thauban berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): “Hendaklah kamu memperbanyakkan sujud kepada Allah, kerana setiap kali kamu sujud kepada-Nya, Allah akan angkatkan darjatmu kepada-Nya dan dihapuskan kesalahanmu.” [HR Muslim]. Ini umum untuk semua waktu.

2.Puasa. Kerana ia juga termasuk di dalam amalan soleh. Dari Hunaidah bin Khalid, dari isterinya, dari setengah isteri-isteri Rasulullah SAW berkata:“Rasulullah SAW berpuasa pada hari sembilan Zulhijjah, pada hari Asyura (10 Muharram) dan tiga hari pada setiap bulan.” [HR Imam Ahmad, Abu Daud dan Nasa’ei]
Kata Imam An-Nawawi :: Berpuasa pada hari-hari 10 adalah sunat yang sangat digalakkan.

3.Takbir, Tahlil dan Tahmid. Hadis Ibnu Umar yang di atas mengatakan: “Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil (mengucapkan La-ilaha-illaLlah), bertakbir (mengucapkan Allahu-Akbar) dan bertahmid (mengucapkan Alhamdulillah).”
Kata Imam Bukhari: “Ibnu Umar dan Abu Hurairah menuju ke pasar pada hari-hari 10 dan bertakbir. Orang ramai yang mendengarnya kemudian turut bertakbir sama.”
Katanya lagi: “Ibnu Umar sewaktu berada di dalam khemahnya di Mina bertakbir, apabila orang ramai yang berada di masjid dan pasar mendengarnya, mereka turut bertakbir sama sehingga Mina riuh dengan suara takbir.”



Ibnu Umar t bertakbir di Mina pada hari-hari tersebut selepas mengerjakan solat, pada waktu rehat, di dalam majlis dan di semua tempat. Maka sunat mengangkat suara sewaktu bertakbir berdasarkan perbuatan Sayyidina Umar, anaknya dan Abu Hurairah.
Adalah patut sekali para muslimin sekarang menghidupkan kembali sunnah yang telah dilupakan pada hari ini, sehinggakan orang-orang yang baik pun telah melupakannya, tidak seperti  orang-orang soleh yang terdahulu.

4. Puasa Pada Hari Arafah. Hendaklah berpuasa bagi sesiapa yang mampu pada hari Arafah (9 Zulhijjah) kerana amalan ini telah sabit dari Rasulullah SAW. Baginda telah bersabda mengenai kelebihannya.
“Aku mengharapkan Allah menghapuskan kesalahan setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.”
 [HR Muslim].
PERINGATAN: Ini hanyalah disunatkan untuk orang  yang tidak mengerjakan haji sahaja. Tetapi bagi jemaah haji yang sedang berwukuf di Arafah tidak disunatkan berpuasa kerana Rasulullah SAW tidak berpuasa sewaktu Baginda wukuf di Arafah iaitu pada tahun Baginda mengerjakan haji.

5. Kelebihan Hari Raya Korban (Yaum An-Nahr), 10 Zulhijjah. Kebanyakan orang Islam telah lupa akan kelebihan hari ini. Kebesaran dan kelebihan perhimpunan umat Islam yang begitu ramai dari seluruh pelusuk dunia. Sesetengah ulama berpendapat hari ini ialah hari yang paling afdhal dalam setahun sehingga melebihi hari Arafah.

Kata Ibnu Al-Qayyim: Sebaik-baik hari di sisi Allah ialah hari Nahr, iaitu hari Haji yang besar (Hajj Al-Akbar), seperti yang tersebut di dalam Sunan Abi Daud [No.1765], hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya hari yang paling besar di sisi Allah ialah hari Nahr, kemudian hari Qar”. (Hari Qar ialah hari yang para jamaah haji mabit (bermalam) di Mina iaitu hari kesebelas Zulhijjah).
Setengah ulama lain pula berpendapat hari Arafah lebih afdhal kerana berpuasa pada hari itu mengampunkan dua tahun kesalahan, tidak ada hari lain yang Allah merdekakan hamba-Nya lebih ramai daripada hari Arafah dan pada hari itu juga Allah SWT turun menghampiri hamba-Nya dan berbangga kepada malaikat dengan hamba-Nya yang berwukuf pada hari tersebut.

Yang lebih tepatnya ialah pendapat yang pertama (Hari Nahr), kerana hadis telah jelas menyebutkan kelebihannya dan tidak ada yang menyalahinya.
Samada hari Nahr  atau hari Arafah yang lebih utama, hendaklah setiap muslim, yang bermukim atau yang mengerjakan haji mengambil peluang ini dengan sepenuhnya untuk mendapatkan kelebihan beribadat pada keduanya.

Cara Menyambut Musim Kebajikan



1. Setiap muslim hendaklah menyambut kedatangan musim kebajikan umumnya dengan bertaubat yang sebenar-benarnya, meninggalkan segala dosa dan maksiat kerana dosalah yang menyekat manusia dari kebaikan dan menjauhkannya dari Tuhannya.


2. Menanam semangat dan azam yang kuat untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT. Firman Allah yang bermaksud:
“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, nescaya Kami tunjukkan kepada mereka jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar bersama mereka yang berbuat baik.” (Surah al-Ankabut : ayat 69).


Contohi Korban Nabi Ibrahim, Hajar & Ismail


Perhatian kepada mereka yang ingin melakukan Ibadat korban. Sabda Rasulullah SAW, maksudnya: “Apabila masuk 10 terawal bulan Zulhijjah dan seseorang itu telah berniat untuk menunaikan ibadat korban, maka janganlah dia membuang (memotong) bulu dan kukunya.” [HR Muslim].

Kata Imam Nawawi rhm: “Para ulama berbeza pendapat tentang hukum hadis ini, Imam Ahmad dan sebahagian ulama Syafei mengatakan haram perbuatan menghilangkan bulu tadi, tetapi Imam Syafei dan ulamanya yang lain mengatakan ia adalah makruh tanzih (iaitu makruh yang sangat besar dan hampir kepada haram).” [Syarah Sahih Muslim].

Maka sebaik-baiknya bagi kita adalah mengelakkan perkara tersebut dan melakukan persedian pada awalnya lagi untuk menghadapi larangan yang besar ini.

Akhirnya, sama-samalah kita berdoa semoga  kita dipilih oleh Allah untuk termasuk ke dalam golongan mereka yang berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan. 

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More