Tawakal dan Berserah diri pada Allah
Allah akan mencukupkan segala keperluannya. Barangsiapa berpegang teguh dengan agama Allah, nescaya Allah akan menyelamatkannya. Barangsiapa menyerahkan segala urusannya kepada Allah, nescaya Allah akan memberinya petunjuk.
Solat Wajib Berjemaah..27x Pahala..
Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a. katanya, Sesungguhnya Rasulullah bersabda, Sembahyang berjemaah itu lebih baik dari mendirikan sembahyang secara bersendirian sebanyak dua puluh tujuh darjat iaitu ganjaran ;. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Taqwa Adalah Kemulian, Mati Suatu Kepastian
Sabda Baginda lagi: Maksudnya: “Hendaklah kamu bertaqwa di mana sahaja kamu berada. Ikutilah setiap kejahatan (yang kamu lakukan) dengan kebaikan, moga-moga kebaikan itu akan menghapuskan kejahatan. Bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang baik.” (Riwayat At Termizi dan Ahmad).
Allah Tambah Nikmat Jika Bersyukur
Orang yang bersyukur kepada Allah akan memperbanyakkan ucapan syukur dan terima kasih kepadaNya. Mereka akan mengerjakan ketaatan kepada Allah dan akan membesarkan nikmat sekalipun nikmat itu kecil
Sudah Solat?. Sesungguhnya Mati Itu Pasti
Sembahyang adalah amalan pertama yang dihisab oleh Allah pada akhirat nanti Dan ingatlah mati, sesungguhnya malaikat maut menjenguk kamu 70 kali sehari semalam 24 jam.
Ucapan Kalimat Thayyibah Seorang Muslim
Kalimat thayyibah yang termasuk ke dalam amalan yang baik dan mampu membentuk pribadi sorang muslim yang selalu ingat dan berhubungan dengan Allah SWT. Dalam kehidupan sehari-hari alangkah baiknya membentuk budaya biasa mengucapkannya
28 April 2014
Kisah Benar di Makkah – Peringatan Allah Untuk Remaja Yang Meninggalkan Solat
18 April 2014
Iman+Taqwa+ Ilmu+Tazkirah = Kunci Kejayaan
16 April 2014
Pengumuman: Ceramah Agama Islam April 2014
15 April 2014
Hikmah Kematian
Kematian adalah rehat daripada kedukaan dunia
Soal Jawab Agama Oleh Dr. Amran Kasimin
SOALAN: Saya seorang saudara baru yang baru sahaja kehilangan suami yang dikasihi dalam usia terlalu muda. Beliau seorang yang bertanggungjawab, prihatin, pengasih, mendidik kami dan selalu berjemaah ketika berada di rumah.
Tidak lama selepas pemergiannya, saya mula sakit hingga sekarang. Terasa dunia ini tidak bercahaya, malap seumpama kubu yang menyerkup kepala. Saya tabah menghadapi hidup ini, tetapi saya berasa lebih tenang ketika berada di pusaranya.
Saya tidak sedar yang saya sedang merintih hampir lebih daripada satu jam. Saya tahu, tidak elok saya selalu berbuat demikian, tetapi hanya itulah yang boleh saya lakukan untuk mengembalikan tenaga dan kekuatan.
Adakah suami saya menyedari rintihan saya setiap hari? Adakah dia bergembira sekarang atau dia juga terlalu kesunyian rindu keseorangan.
Zainab, KK.
JAWAPAN:
Apabila seseorang itu hampir tiba ajalnya, maka Allah akan memerintahkan malaikat maut mengambil nyawanya. Ketika itu malaikat akan tahu bila seseorang itu akan mati, di mana dan dalam keadaan bagaimana. Sebelum itu malaikat tidak tahu.
Setiap orang mempunyai ketentuan ajal masing-masing. Apabila kematian seseorang itu telah ditentukan, maka ajal itu akan datang, tidak berganjak, terdahulu atau terkemudian daripada tarikh yang telah ditetapkan. Itulah ketentuan daripada Allah yang tidak dapat diingkari oleh manusia. Allah mahukan agar setiap hamba-Nya reda dengan qadak dan qadar ketentuan Allah.
Apabila nyawa seorang Islam yang beriman itu hendak diambil, Allah mewahyukan kepada malaikat maut, ``kirimkan salam-Ku kepadanya.'' Maka apabila malaikat itu datang kepadanya untuk mengambil rohnya, malaikat akan berkata: ``Tuhanmu kirim salam padamu.''
Dalam sebuah hadis lain, daripada Muhammad al-Quradzi menyatakan bahawa apabila sampai ajal seorang mukmin, datanglah malaikat maut berkata: Sejahtera di atasmu wahai kekasih Allah. Allah mengirim salam padamu. Dalam surah an-Nahl: 32 dijelaskan, orang-orang yang bertakwa ialah mereka yang dimatikan dalam keadaan yang baik oleh para malaikat dengan mengucapkan kepada mereka, ``selamatlah kamu.''
Abu Hurairah memberitahu, bahawa Rasulullah ada bersabda menyatakan bahawa sesungguhnya orang yang beriman itu apabila hendak diambil rohnya, maka datanglah malaikat rahmat yang membawa sehelai sutera putih, lalu keluarlah daripadanya wangian. Wanginya lebih harum daripada bau kasturi, sehingga sebahagian mereka dapat menghidunya. Mereka menamakannya dengan sebaik-baik nama untuknya, sehingga mereka membawanya ke sebuah pintu daripada pintu langit.
Para malaikat bertanya, apakah bau-bauan ini didatangkan dari bumi. Setiap kali ia memasuki langit, penjaga-penjaga pintu akan mengucapkan kata-kata seperti itu, sehingga dia bersama segala roh orang yang beriman.
Dalam sebuah hadis lain, Abu Hurairah memberitakan bahawa Nabi bersabda: Sesungguhnya orang mukmin itu apabila tiba ajalnya, datanglah kepadanya malaikat dengan sekeping kain sutera, padanya ada kasturi, ambar dan harum-haruman. Maka mengalirlah rohnya seperti tercabutnya sehelai rambut daripada adunan tepung dan diucapkan kepadanya: Wahai jiwa yang tenang, keluarlah dalam keadaan reda atas kamu menemui Allah dan kemuliaan-Nya. Apabila rohnya telah keluar, ia diletakkan di atas kasturi juga bau-bauan, lalu kain sutera itu pun dilipat dan dibawa bersamanya ke Illiyiin - hadis riwayat al-Barra.
Rasulullah menjelaskan bahawa roh seseorang yang beriman itu tidak akan dicabut, keluar daripada jasad sehinggalah Allah memperlihatkan tempatnya yang kekal kelak, iaitu di syurga.
Sesungguhnya, kematian bagi orang yang beriman itu adalah rehat daripada segala kedukaan dunia. Dalam keadaan seumpama ini, tidak ada sesuatu perkara yang ghaib, yang dinantikan oleh orang yang beriman, lebih baik daripada kematian.
Sesungguhnya, kehidupan di dunia ini pinjaman semata-mata. Orang yang bijak akan menjadikan dunia ini laluan semata-mata, seumpama tidak ubah orang yang menyemai, bakal dituai di akhirat kelak. Itulah orang yang mendapat hidayah Allah, mentaati perintah-Nya dan menjauhi segala larangannya.
Manusia hidup perlu berjuang. Mempunyai tanggungjawab yang mesti dipikul, untuk diri sendiri, keluarga, agama dan negara. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Yang terbaik menang, dan yang leka akan tinggal ke belakang. Itulah adat perjuangan. Kekayaan yang dimiliki, anggota tubuh badan yang dinikmati mesti digunakan sebaik mungkin, termasuk usia yang diberi.
Semuanya akan ditanya oleh Allah, untuk apa, bagaimana dan kenapa ia digunakan. Mereka yang terpesona dengan keindahan dunia akan hanyut di bawah tekanan dan kekangan nafsu. Kerana itu, selagi nyawa ada di badan, perjuangan mesti diteruskan.
Orang yang beriman, menggunakan segala amanah yang diberi oleh Allah sebaik mungkin, sentiasa bersedia menghadapi mati, lantaran mati itu boleh berlaku pada bila-bila masa menurut ketentuan Allah.
Sebelum mati, ia akan didatangi oleh malaikat maut yang membawa salam daripada Allah, petanda kasih Allah, menjemput kekasih-Nya kembali menemui-Nya. Sebelum roh berpisah dengan jasad, Allah perlihatkan syurga baginya.
Syurga adalah kemuncak segala nikmat yang tidak dapat diluahkan melalui ungkapan kata. Bagi mereka yang berjuang untuk hidup di dunia, untuk diri, agama, negara, keluarga dan kerana Allah, apabila diperlihatkan kepadanya syurga, hamba berkenaan akan merasai betapa nikmatnya hidup di syurga, berbanding dengan hidup di dunia yang penuh dengan pelbagai perjuangan, hiruk-pikuk penipuan dan pesona.
Orang yang berada dalam pesona syurga, ketika dalam keadaan sakaratul maut tidak dapat menahan diri untuk menikmati syurga yang diperlihatkan kepadanya.
Walaupun demikian, hamba berkenaan tidak akan dapat menikmati kehidupan di syurga, kecuali setelah mati terlebih dahulu. Kerana itulah hamba berkenaan terlalu inginkan mati, untuk segera menikmati syurga.
Mati bererti menemui Allah, kerana itu, apabila seorang hamba yang beriman itu reda untuk mati, bererti dia reda untuk bertemu Allah. Dalam keadaan sedemikian rupa, apabila seseorang itu reda untuk bertemu Allah, maka Allah lagi suka menemui hamba berkenaan.
Hibaan bin al-Aswad pernah berkata, ``mati itu lebih baik bagi menyampaikan seorang yang kasih, kepada kekasihnya, iaitu Allah''
Sesungguhnya, apabila seseorang itu telah meninggal dunia, hakikatnya dia telah meninggalkan kehidupan yang fana, yang tidak kekal ini. Apabila dimasukkan dalam kubur, dia berada di alam arwah atau alam roh-roh. Kehidupan di alam kubur adalah sebahagian daripada alam akhirat. Di antara alam fana dan alam akhirat ada pendinding yang tidak boleh tembus-menembusi di antara satu dengan yang lain.
Bagi orang yang beriman, selain dipermudahkan ketika sakaratul maut, diberi penghormatan seperti yang dijelaskan dalam hadis-hadis yang diterangkan di atas, ia juga diberi nikmat ketika di kubur. Kerana itu, persoalan sama ada roh suami puan sekarang dalam keadaan gembira atau terlalu kesunyian merindukan puan tidak timbul sama sekali.
Perbandingan seorang mukmin ketika hidup di dunia, adalah seperti janin dalam kandungan ibunya. Apabila dia telah keluar daripada kandungan, dia menangis di tempat keluarnya, sehingga dia melihat sinar dan menyusu, ketika itu dia tidak ingin lagi untuk pulang ke dalam rahim.
Begitulah keadaan orang yang beriman yang telah mati dan menemui Tuhannya, tidak lagi dia ingin untuk kembali ke dunia, tidak ubah seumpama janin yang tidak ingin ke dalam rahim ibunya.
Gambaran nikmat yang dijelaskan ini adalah bagi mereka yang beriman. Ketika hampir mati dan melihat apa yang telah disediakan oleh Allah untuk dirinya, mereka begitu ingin untuk keluar dari dunia, iaitu mati. Bagi orang kafir, apabila hampir mati dan melihat apa yang disediakan oleh Allah, akan menjadi benci untuk keluar dari dunia, kerana itu Allah juga benci menemuinya.
Ibn Juraij memberitahu bahawa Nabi pernah bersabda kepada Aishah radialahuanha: Apabila seorang mukmin itu melihat para malaikat, mereka akan bertanya: Inginkah engkau kiranya kami kembalikan engkau ke dunia. Orang yang beriman itu bertanya: Ke negeri sedih dan dukacita. Kerana itu segeralah bawa kami kembali kepada Allah subhanahu wa taala.
Mati bukan penghujung kehidupan seseorang yang sebenar, kerana selain daripada hidup di dunia, manusia akan dibangkitkan di akhirat yang kekal lagi abadi. Allah menjanjikan kebahagiaan mereka yang beriman kepada-Nya di dunia dan di akhirat, termasuk ketika menghadapi saat genting sakaratul maut.
Berdukacita, merintih rindu tidak berupaya merobah keadaan biar sedikit pun. Allah mengasihi suami puan dan mengambilnya lebih awal dalam dakapan kasih-Nya. Allah lebih mengetahui untuk membalas hamba yang dikasihi-Nya, lebih daripada apa yang puan boleh lakukan untuknya, kerana Allah itu Maha Pengasih Lagi Penyayang yang tidak dapat dibandingkan dengan kasih sayang manusia.
Suami puan tidak keseorangan didakap rindu kerana meninggalkan dunia yang penuh dengan pelbagai dukacita. Zaid bin Aslam pernah memberitahu, ``apabila seorang mukmin itu didatangi waktu hampir mati, akan diucapkan kepadanya, jangan kamu takut terhadap peristiwa yang akan berlaku, di mana ketakutan pasti terhapus.
``Jangan dukacita terhadap dunia dan penghuninya, iaitu keluargamu. Gembirakan dengan nikmat syurga, di mana segala kebimbangan akan lenyap. Jangan berdukacita, kamu pasti akan meninggalkannya, padahal ketika itu, iaitu sebelum meninggal, Allah telah pun menenangkan hatinya.''
Ad-Dhaaak menjelaskan bahawa kegembiraan itu diketahui oleh mereka yang beriman sebelum roh berpisah dari badan dan mereka telah mengetahui di mana mereka akan berada, iaitu di syurga.
Tidak mudah mengikis rasa rindu kehilangan orang yang dikasihi. Demikianlah di antara tanda-tanda kasih sayang. Tidak mudah memujuk kesunyian hilang teman, hilang tempat bergurau senda dan mengadu kasih, tempat harapan. Berapa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
Walaupun demikian, kalau setiap orang itu berupaya memikiri tentang ketetapan Ilahi, qadak dan qadar ketentuan Allah, kesedaran akan timbul, bahawa tidak ada manusia yang berupaya mengubah ketentuan-Nya. Allah Maha Mengetahui rahsia yang tidak terungkai oleh pemikiran manusia di atas ketetapan-Nya.
Sesungguhnya di sebalik rindu dan rasa hampa, tenaga, masa dan pelbagai usaha tetap diperlukan untuk menghadapi sisa-sisa hidup yang masih tidak menentu. Kerana itu usaha memperoleh tenaga dan rintihan terhadap orang yang telah pergi adalah sesuatu yang sia-sia
14 April 2014
Mari Perbaiki Bacaan Al-Fatihah
Bismillahirrahmanirrahim.. |
Pernah atau tidak anda terfikir dan berasa pelik kenapa bila anda dah solat, tapi masih rasa solat tak sempurna (ada macam tak kena), anda sudah solat cukup 5 waktu tapi masih lagi melakukan dosa yang berterusan, dan ada waktu hati anda masih rasa tidak tenang? Sedangkan solat itu mencegah kita dari melakukan dosa dan sentiasa membuat hati kita tenang. Dimana silapnya? Mungkin topik dalam artikel kali ini antara sebabnya mengapa semua perkara tadi masih lagi berlaku.
Tahukah anda, semasa solat, wajib kita membaca Al-Fatihah dengan sebutan makhraj yang betul, tajwid yang betul, tartil yang betul, agar solat itu sah. Jika tidak, solat itu tidak sah. Selain rukun qauli yang wajib dipenuhi, iaitu wajib membaca Al-Fatihah secara berlafaz, tidak sah solat jika dibaca berbisik, suara angin, atau dalam hati, sekurang-kurangnya bacaan itu didengari oleh telinga sendiri, baru sah solat.
Haa... selama ini ada yang ambil berat tak soal kesempurnaan solat seperti kesalahan-kesalahan bacaan Al-Fatihah yang mengundang kepada tidak sah solat? Jadi kali ini mari sama-sama kita rujuk semula samada bacaan Al-Fatihah kita betul atau salah.
Baiklah, antara kebiasaan kesalahan yang dilakukan orang ramai:
1. Huruf Ba ﺐ pada Bismillah tidak berbunyi. Nak sebut slow punya pasal, sehingga disebut ...Ismillah hirrohma nirrohim". Sebutan ini salah.
2. Huruf Hha pedas ح pada "rahman" dan "rahim" tidak disebut Hha pedas, hanya sebut haa biasa (haa simpul) (ه).
3. Tertukar sebutan pada BismilLAH, "LAH" itu dibaca Lam bertemu Hha pedas (ح) sedangkan Lam bertemu Haa simpul (ـه).
* Ingat tau.. eja Allah ialah "alif lam lam ha"
4. Salah menyebut huruf Ro baris atas dengan sebutan Raa yang sangat jelas "aaaa" nya. Sedangkan sebutannya "Rohman", bukan rahman, rahman ini cuma ejaan rumi sahaja sebagai tanda ro tu baris di atas.
5. Huruf Alif tidak disebut semasa membaca ayat kedua. Sebab nak cepat, ada yang salah menyebut "...Lhamdulillah...". Pastikan sebut dengan jelas "Al ham du lillah.."
6. Sebutan "Alhamdulillah..." pada ayat kedua juga selalu ada yang salah sebut begini "ALLEHAM DU LILLAH". Sebutan "Alle.." itu salah. Berhati-hati yaa.. Matikan huruf Lam tersebut. Sebutan betulnya "AL ham du lillah"
7. Huruf Hha pedas ح pada "al HAM du" hanya dibaca "haa" biasa/simpul (ه).
8. Sebutan "..duLILLAH", tidak disabdukan "LIL" dengan "LAH", hanya baca "Li-lah" sedangkan patutnya sabdu.
9. Sebutan "robbil 'AAlamin", huruf ain (ع) disitu ada yang salah sebut dibaca dengan huruf alif, 'aa jadi aa (ا ). Ingat, disitu huruf ain bukannya alif..
10. Huruf ro tidak disabdukan pada sebutan "aRRohmaaniRRohim". Ramai orang baca "...a-rohmaani-rohim.." ini salah sangat-sangat, sebab itu nama-nama Allah. Sepatutnya ia dibaca ARROHman dan ARROHim. Dan ramai tak baca huruf Hha pedas (ح) tu betul2 pada Ro mati bertemu Hha, cuma baca macam Haa biasa/simpul. ROHH tu macam Ro pedas. Rohhhhhh, pekatkan "hhhh" tu.
11. Huruf mim pada sebutan "MAAlikiyau" tidak dibaca dua harakat, ramai yg baca 1 harakat "...malikiyau...". Ini salah. (Bacaan ini ada 2 wajah namun kita di Malaysia berpegang pada bacaan dua harakat)
12.Tidak mensabdukan huruf Dal pada sebutan "miDDiin", sedangkan ia sepatutnya bersabdu.
13. Haa... yang ini pun ramai selalu sangat salah, tidak mensabdukan huruf Yaa pada "iYYAkanaq buduwaiYYaa". Sebutan yang betul ialah IY-YA, bukan "I-YA" atau "EE-YA". Kena tekan sikit kat IY dan panjangnya dua harakat, bukan satu harakat.
14. Huruf ain pada "iyyakanAQ" hanya disebut KANAK. Ini pun salah. Disitu nun mati bertemu ain ya, bukan bertemu kaf.
15. Selalu salah baca huruf dal dan wau pada "buDUWA" dengan 2 harakat, sedangkan ia mesti dibaca dengan 1 harakat sahaja. Sebutan yang betul ialah "...buduwaiyyaa...", bukan "...buDUU waiyya..." atau "....budu WAA iyya..."
16. Huruf ain tak disebut dengan betul masa "kanasta'IN". Ramai yang sebut sebagai alif, "ka nas ta in", ini salah. Tekankan sedikit sehingga sebutan itu betul huruf ain.
17. Pada "IHdinaussiro..." ada yang terlebih-lebih tekankan huruf Hha sehingga sebutan melampau menjadi "EHhhh.." "Eiih.." dan sebagainya. Sebutan yang betul ialah sebut Hha biasa sahaja. "Ihdinaussiro."
18. Pada "Ihdinaussiro..." juga, ramai baca nun mati bertemu sin, padahal disitu nun mati bertemu sod. "auss" pada sebutan "NAUS" tu kena tekan sikit. Kalau kitab rumi lama, pengarang eja ia sebagai "Ihdinaush-shiro". Bukan suruh baca "naush" mati dengan syin, tapi supaya ditekankan sod tu. Faham tak? Maksud Asyraf, muncungkan mulut anda bila menyebut "Nauss".
19. "Sirootolmustaqim.." ramai baca huruf Ro tu hanya satu harakat, sepatutnya dua harakat.
20. "...Mustaqim", sebutan patutnya QIM, bukan KIM, sebab huruf tu huruf Qof bukan Kaf.
21. "Sirootollazi..." ramai sebut "SI" itu sebagai huruf sin, bukan huruf sod, padahal "SSI" tu patut ditekankan sikit sebab ia huruf sod. Huruf "Ro" pula patut panjang 2 harakat, tapi ramai yang baca dengan 1 harakat. "laZI", huruf tu huruf dzai, bukan zzai, huruf dzai lembut bunyinya, di hujung lidah kita di belakang gigi.
22. "Na-an'am..." ramai sebut AN tu dengan sebutan huruf AIN, padahal ianya huruf alif, manakala ada juga sebut 'AM tu pula dengan huruf alif, padahal ianya huruf ain. Tak kurang, ada juga yang sebut "ANA'AM". Sebutan begini salah. Jika hadapi kesulitan, dah usaha betulkan masih tak dapat juga, jangan begitu jelas sangat bunyinya.
23. Kesalahan seterusnya ialah, suka berhenti pada "Ghairilmaghduu bi'alaihim". Tak boleh berhenti situ. Kalau nak berhenti, henti pada sebutan "Na an'am ta'alaihim". Kemudian sambung nafas baru pada "Ghairil maghdu...". Okay?
24. Pada sebutan yang sama tadi, kita tak sebut huruf "Gha" tau, apabila mim mati bertemu Gha, sepatutnya maghdu, disebut "makdu" atau "maqdu" sahaja.
25. "bi'A laihim", ain disebut alif sedangkan disitu huruf ain.
26. "Waladdoollin". Pada sebutan "Ladd" itu ada yang selalu sebut Lam mati bertemu dal, sedangkan ia bertemu dod. Kena tekan dalam sikit pada dod tu. Lebih kurang begini ruminya, "Walaudd" (lidah melekat pada depan rahang/lelangit). Kemudian, sebutan "DOOOLlin" selalu ramai yang baca tak sampai 6 harakat, sedangkan ia wajib dibaca dengan 6 harakat pada huruf dal bertemu sabdu Lam.
27. Kesalahan seterusnya ialah pada setiap hujung-hujung ayat, harakatnya mestilah dibaca sama dari permulaan hingga habis. Boleh pilih ikut keselesaan anda, ia boleh dibaca pada dua, empat atau enam harakat. Sebagai contoh ia dibaca 4 harakat, "BismillahirrohmanirroHIIMMMM.
.", Alhamdulillahhirrobbil 'alaMIINNNN" "ArrohmanirroHIIMMMM". Faham tak? Ini macam syair atau pantun lah, rima akhir kena sama panjang dan sebagainya. Tak boleh baca ikut sedap saja, ayat pertama dua harakat di penghujung, ayat kedua enam harakat di penghujung. Ini salah. Nak sempurnakan bacaan. Pastikan penghujung ayat itu habis dengan harakat yang sama, teratur dan berirama.
Semua ini kesalahan-kesalahan biasa yang selalu berlaku dalam bacaan Al-Fatihah. Sebenarnya banyak lagi kesalahan lain. Boleh rujuk dengan yang lebih arif. Nak belajar Al-Quran sebenarnya ada adab, kita kena duduk berhadapan dengan guru. Supaya apa yang kita sebut, dan apa yang diajar oleh guru lebih jelas. Bukan belajar di internet semata.
Apa pun, harap anda dan saya, kita sama-sama ambil iktibar, perbaiki bacaan Al-fatihah agar betul dan agar solat sah. Sesungguhnya solat itu dapat mencegah dari perbuatan keji dan mungkar. Jika tak dapat mencegah kita dari melakukan semua itu, there must be something wrong
dengan solat kita. Kan? Lagi satu, kalau lelaki nak kahwin nanti pun, tak boleh failed tajwid Al-Fatihah ni tau. Nak jadi Imam nanti. Jadi, bolehlah perbaiki mulai sekarang. In Shaa Allah, masih belum terlambat.
di bahagian kiri bawah artikel ini. Moga Allah ganjarkan pahala kebaikan buat kita semua. Mudah-mudahan Allah redha dengan ilmu yang dikongsi ini.
Sekian, Wallahualam Bissawab
Kredit Ilmu :
1. Ustaz Azhar Idrus
2. Ustaz Don Daniyal
3. Ustaz Ahmad Adnan Fadzil
4. Fatih Seferagic
Hasil Nukilan :http://asyrafkhalib.blogspot.com/
Nota: Pihak AJK musolla balai felda bersedia mendengar bacaan fatihah anda. Sila hantar email kepada musolla@feldaglobal.com. Semoga Ilmu yang dikongsi ini dapat dimanafaat bersama-sam demi untuk memperbaiki bacaan Al-fatihah.